[Titik Hitam] Anak Diganggu Secara Seksual Ketika Sedang Bercuti

Kejadian berlaku sekelip mata!

Bercuti bersama keluarga sememangnya menyeronokkan namun ia telah menjadi mimpi ngeri buat famili ini apabila anak yang dikasihi telah diperlakukan secara tidak sopan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Itulah apa yang terjadi kepada *Aminah apabila dia dan beberapa orang rakannya membawa anak mereka ke sebuah kebun di tengah kota. Dia sudah tiga kali berkunjung ke lokasi tersebut bersama anaknya tetapi kali ini dia telah mengajak beberapa orang rakannya bersama anak mereka untuk berkunjung ke kebun berkenaan.

Di kebun tersebut terdapat seorang pekerja asing menjadi tukang kebun di sana. Aminah pernah berbual dengan pekerja asing tersebut dalam kunjungannya sebelum ini. Jadi, apabila tiba kunjungan bersama rakannya, dia telah meminta tukang kebun tersebut untuk membawa anak mereka melawat dan melihat sekumpulan lembu yang kandangnya terletak di atas bukit, dan daripada tempat para ibu duduk bersantai, masih boleh melihat kandang lembu berkenaan yang berada di atas cerun.

Sekumpulan lapan kanak-kanak dan seorang dewasa yang mengikuti tukang kebun tersebut. Selepas menghabiskan masa bersama lembu, mereka semua mula turun ke bawah untuk menyertai ibu bapa yang lain. Enam daripada lapan kanak-kanak tiba dengan selamat tiba ke bawah diikuti dengan wakil ibu bapa yang mengikuti lawatan tersebut. Dua lagi tidak kelihatan.

Aminah tetap berwaspada dan selepas beberapa minit, kedua-dua kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan akhirnya datang untuk menyertai mereka yang lain. Kelihatan seperti salah seorang kanak-kanak perempuan itu telah jatuh kerana selipar getah yang dipakainya telah terputus dan tidak dapat mengejar orang lain.

Kanak-kanak yang lain meneruskan aktiviti mereka dengan mengejar ayam dan ayam belanda di sekitar kawasan berkenaan . Tetapi budak perempuan yang jatuh tadi hanya duduk di sebelah ibunya yang juga kawan baik kepada Aminah. Dia dapat merasakan sesuatu yang tidak kena dengan situasi tersebut.

Diganggu secara seksual

Menurut Aminah, dia dapat melihat rakannya sedang berbual secara serius bersama anaknya. Sebelum mereka beredar, kawannya telah menarik Aminah ke tepi dan bertanya kepadanya apa yang perlu dilakukan.

Aminah akui dia agak bingung apabila ditanya sedemikian. Barulah Aminah sedar sesuatu telah berlaku kepada anak perempuan sahabatnya itu yang masih lagi berdiri di sebelah ibunya dengan pandangan yang bimbang dan takut, sementara kanak-kanak yang lain terus seronok bermain.

Apa yang telah diberitahu oleh rakannya selepas itu telah membuatkan Aminah amat terkejut. Menurut rakannya, anak perempuannya telah disentuh secara tidak sopan oleh tukang kebun apabila dia tertinggal ke belakang sewaktu lawatan tadi. Aminah melihat anak perempuan sahabatnya sekali lagi dan tanpa sebarang raguan, dia tahu anak kecil itu telah mengalami sesuatu yang tidak sepatutnya apabila melihat wajah pucat anak kecil tersebut.

Mangsa berusia lapan tahun itu berkata dia telah jatuh dan lelaki (tukang kebun) tersebut telah mengambil kesempatan dan menyentuhnya secara tidak sepatutnya. Sempat pula lelaki itu mengingatkan si kecil berkenaan agar tutup mulut dan jangan berkata apa-apa kepada ibunya mengenai kejadian itu.

Kemudian, kesemua ibu bapa yang lain telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan semuanya turut keliru dan terkejut dengan apa yang telah berlaku. Masing-masing terlalu terkejut dan untuk seketika bingung apa tindakan wajar seterusnya. Apatah lagi, kanak-kanak perempuan itu hanya terlepas daripada pandangan mereka selama 10 minit namun ibu bapa yang lain berada dalam jarak yang dekat, itu yang paling mengejutkan mereka semua.

Tiada siapa pernah membayangkan perkara sedemikian akan berlaku dalam keadaan seperti itu, cuaca yang cerah dan turut dikelilingi oleh ibu bapa yang lain.

Ambil tindakan

Aminah memberitahu rakannya, dia perlu berhadapan dengan lelaki itu dan membuat laporan polis. Dia tidak boleh membiarkan lelaki itu terlepas daripada hukuman. Tukang kebun itu kemudiannya dipanggil dan mereka mula menyoal siasat lelaki tersebut.

Lelaki itu panik dan mula mereka cerita bagaimana anak rakan Aminah itu jatuh dan dia telah merawat dan melayannya seperti anak perempuannya sendiri. Aminah rasa mual mendengar cerita rekaan lelaki tersebut. Dia memberitahu lelaki itu yang mereka akan membuat laporan polis dan tukang kebun itu merayu kepada mereka untuk tidak melakukannya dan meminat maaf atas perbuatannya.

Sebelum mereka beredar, secara kebetulan Aminah telah bertemu dengan seorang daripada pemilik kebun tersebut. Dia memberitahu apa yang telah berlaku dan orang penting tersebut berkata tindakan akan diambil terhadap pekerja tersebut dan dia juga menyokong mereka agar membuat laporan polis.

Polis yang telah menerima aduan berkenaan memberitahu akan melakukan siasatan yang diperlukan tidak lama lagi.

Walaupun hal ini berlaku secara tiba-tiba, Aminah bangga kerana kawannya itu telah membesarkan anak perempuannya itu untuk menjadi berani. Budak perempuan itu tidak gentar untuk bercakap mengenai kejadian tersebut. Dia tidak dapat bayangkan jika anak kecil malang itu hanya mendiamkan diri sepanjang masa dan menderita sendirian. Mereka telah memuji kanak-kanak perempuan itu kerana berani untuk menceritakan hal yang sebenar.

Moralnya, ibu bapa perlu mendidik anak agar menjadi lebih berani, bersikap terbuka dalam berkomunikasi dan mengajar anak untuk tidak takut atau malu apabila sesuatu seperti ini berlaku. Ini juga memudahkan ibu bapa untuk ambil tindakan sepatutnya agar mereka dapat melindungi anak mereka daripada perkara tersebut.

Jelita turut kongsikan bersama anda, tiga petanda anak anda telah diganggu secara seksual seperti dikongsikan Siti Aisyah Hassan Hasri, pengasas Program Kemasyarakatan SPOT yang menawarkan pendidikan seksual buat gadis bawah usia 12 tahun:

*Bukan nama sebenar
Sumber Gambar: Depositphotos