Tip Jaga Diri Dalaman Dan Luaran

Sayangi diri anda sendiri juga sangat penting

Ambil masa sebentar untuk menghela nafas dan beri perhatian pada diri sendiri. Penjagaan diri bukan semata-mata bergantung pada aktiviti fizikal, malah penjagaan dalaman juga penting untuk kesihatan seperti perkara lain yang anda sering lakukan setiap hari. Hal ini juga dapat mengelakkan anda daripada mengalami sebarang masalah kesihatan mental. Monki Thinks berkongsi tip daripada pakar di Taman Sains Sahlgrenska tentang bagaimana anda boleh berlatih menjaga dalaman dan luaran diri.

Penjagaan dalaman

  • Semak diri

Pejam mata dan fikirkan sejenak di mana anda berasa paling santai. Di mana anda sekarang? Siapa anda dan apa yang anda buat? Ini mungkin memberikan petunjuk tentang apa yang anda rasa adalah ruang peribadi anda. Langkah seterusnya mungkin anda boleh memikirkan bagaimana mahu memasukkan aktiviti ini lebih kerap ke dalam kehidupan seharian dan nyatakannya. Ambil masa setiap hari untuk menyemak diri apa yang anda lalui saban hari.

  • ‘Perlu’ atau ‘ingin’?

Salah satu cara untuk mengetahui aktiviti yang sering anda lakukan itu berbaloi dari segi masa atau tumpuan adalah perasaan anda apabila melakukan aktiviti tersebut. Adakah ia adalah aktiviti yang memang anda mahu lakukan? Selain itu, aktiviti ‘perlu’ anda lakukan adalah perkara yang anda wajib lakukan.

  •  Kesedaran

Ini sering berlaku apabila anda terlalu berfikir secara mendalam tentang perkara yang tidak pasti. Praktis untuk bebaskan fikiran dan tidak terlalu berfikir tentang masa depan yang membuat anda berasa tertekan. Anda hanya perlu tempuh apa sahaja cabaran hidup yang bakal anda hadapi dengan ikhlas. Cara lain untuk lebih tenang pula ialah berdiri dan menarik nafas panjang.

Penjagaan luaran

Cari sedikit masa untuk berjalan dan praktik hobi kegemaran yang dapat mengubah mood keesokan hari. Aktiviti seperti ini dapat melegakan tekanan yang anda sedang hadapi malah membuatkan anda lebih matang dan tenang untuk menempuhi setiap cabaran hidup.

  • Keluarkan peluh

Fakta yang diketahui orang ramai bahawa senaman dan aktiviti fizikal dapat menghasilkan endorfin seperti mengeluarkan bahan kimia dari dalam otak. Jadi, cari masa untuk keluarkan peluh! Lakukan apa saja aktiviti yang membuatkan anda berpeluh.

  • Cari hobi

Pastikan anda mempunyai satu hobi untuk dilakukan ketika waktu lapang. Anda boleh lakukan aktiviti yang relaks seperti mendengar lagu, bercucuk tanam dan melukis. Tidak perlu mengikut hobi orang lain jika itu bukan ‘jiwa’ anda seperti pergi ke gim. Hobi juga sangat penting bagi mengisi masa lapang anda dengan aktiviti berfaedah. Jangan duduk bersendirian dan meratapi nasib hidup, ia tidak baik untuk kesihatan mental!

  • Regangan

Melakukan regangan dan tarik nafas panjang ketika anda berasa terlalu banyak beban dapat menggalakkan minda dan tubuh untuk lebih tenang. Lakukan dengan kerap jika anda berasa letih. Regangan ringkas tidak mengambil masa yang lama untuk anda lakukan setiap hari. Selain itu, ia dapat mengembalikan mood baik untuk meneruskan hari anda.

  • Luangkan masa di alam semula jadi

Alam semula jadi terbukti dapat meningkatkan tahap dopamin. Anda disarankan pergi keluar dan ambil udara segar! Sesekali tinggalkan hiruk-pikuk bandar dan gajet, tenangkan fikiran dengan melakukan aktiviti melibatkan alam semula jadi seperti berkhemah, mengembara hutan, melawat taman botani dan banyak lagi.

  • Tidur yang mencukupi

Tidur sangat penting untuk badan dan otak anda berehat, memulihkan dan memproses maklumat. Jadi, dapatkan tujuh jam tidur setiap hari dan jadikan ia rutin harian . Anda juga boleh tidur sebentar sewaktu siang jika mahu untuk mengembalikan tenaga. Tidur sebentar disarankan sewaktu tengah hari sebelum makan.

  • Senaraikan

Menulis kadangkala dapat membuat anda berasa lega daripada perasaan dan masalah yang dihadapi selain berfungsi sebagai terapi. Ia seperti meluahkan apa yang anda rasa dengan menulis. Jadi, catat dan senaraikan perasaan pada kertas atau buku! Anda akan dapat melihat setiap masalah dengan lebih tenang dan memikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikannya.

Gambar utama: Monki

Lihat juga: Aiman Hakim & Zahirah Macwilson Pantau Tahap Kecergasan Dengan Garmin Fenix 6