Tip Berguna Buat Penghidap Multiple Sclerosis

Tangani penyakit Multiple Sclerosis.

Pernahkah anda mendengar mengenai Multiple Sclerosis (MS)? Jika tidak, ini menunjukkan masih kurangnya kesedaran terhadap penyakit ini. MS ialah sejenis penyakit neurologi autoimun yang menyebabkan keradangan pada sistem saraf pusat.

Sistem imun menyerang mielin, iaitu lapisan perlindungan yang menyelaputi serat saraf. Serangan ini menyebabkan radang dan tisu parut, lantas menyukarkan otak menghantar isyarat kepada bahagian badan yang lain. Secara beransur, MS akan menyebabkan kemerosotan pada otak seterusnya menimbulkan kerosakan mental dan kehilangan upaya daripada segi fizikal.

Jelita kongsikan beberapa tip mudah untuk penghidap MS menangani penyakit ini.

  • Apabila suhu semakin meningkat dan anda mula berasa tidak sihat, pasang pendingin hawa atau cuba pakai baju penyejuk (cooling vest).
  • Pastikan tidak menyendiri dan cuba dapatkan bantuan daripada ahli keluarga atau rakan.
  • Bagi memastikan otot anda kuat, lakukan senaman ringan beberapa kali dalam seminggu. Berhenti jika anda merasai kesakitan.
  • Lakukan beberapa siri regangan sekurang-kuranganya dua kali seminggu.
  • Patuhi waktu ubatan anda. Jika anda berhenti tanpa kebenaran doktor, ia mungkin mengurangkan keberkesanan rawatan dan menyebabkan kemudaratan.
  • Jejak gejala yang dialami dan kongsi dengan doktor untuk memahami tentang MS dan mendapat gambaran tepat mengenainya.
*Maklumat yang terkandung ini tidak bertujuan untuk menjadi pengganti nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan dalam apa jua cara. Sentiasa dapatkan nasihat doktor atau pakar kesihatan yang berkelayakan mengenai sebarang keadaan.
Sumber Gambar: Depositphotos