Tangani #Covid19, KKM Cari Sukarelawan Kesihatan Dan Perubatan

Mari bersama berjuang demi negara!

Wabak pandemik Covid-19 semakin membimbangkan dengan jumlah kematian meningkat setiap hari. Di Malaysia, jumlah kematian yang dicatatkan sehingga 29 Mac 2020 adalah sebanyak 34 kes.

73 kes positif Covid-19 kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu sebanyak 52 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia atau KKM ingin mengalu-alukan perkhidmatan sukarelawan kesihatan dan perubatan dalam menangani penularan kejadian Covid-19 di Malaysia.

Sehingga ke hari ini, seramai 157 sukarelawan telah menyertai dan ditugaskan sebagai sukarelawan yang ditempatkan secara berperingkat untuk membantu pasukan bantuan kesihatan dan perubatan Covid-19.

Sejumlah 1,008 sukarelawan lagi bakal menyertai pasukan perubatan di hospital iaitu mereka yang terdiri daripada pelbagai profesion perubatan.

Mengambil kira situasi semasa, KKM ingin menyeru lebih ramai sukarelawan untuk tampil menyertai pasukan bantuan kesihatan dan perubatan Covid-19 dengan mengisi Borang Pendaftaran Anggota Sukarelawan Pasukan Bantuan Kesihatan dan Perubatan Covid-19 di laman sesawang Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sumber Gambar: Depositphotos