Suami Juga Perlu Jaga Kulit Wajah, Ini Dia Lima Langkah Perlu Diamalkan

Pujuklah cik abang jaga kulit wajahnya.

Sebut sahaja pasal penjagaan kulit wajah, mesti kaum lelaki paling tidak berminat untuk mengetahuinya. Bagi mereka, jaga kulit ini hanya untuk wanita sahaja. Rasanya sudah tiba masa untuk anda memujuk si suami menjaga penampilan. Bak kata pepatah, suami kacak, isteri turut tumpang bangga.

Jelita beri anda kepentingan setiap rutin penjagaan wajah yang perlu suami anda lakukan. Kalau mereka teragak-agak melakukannya, tugas si isteri membantu dan menerangkannya dengan lebih terperinci. Setiap produk penjagaan wajah boleh bertahan sehingga tiga – empat bulan. Yang penting, kesemua produk ini dibeli menggunakan duit suami ya, bukan si isteri. Jadi selepas ini tiada alasan untuk suami mengelak daripada menjaga kulit wajah!

1. Pencuci Wajah

Kulit manusia mengambil masa secara purata selama 30 hari untuk proses pembaharuan. Bayangkan jika anda tidak mencuci wajah setiap hari? Kotoran daripada udara yang kotor serta pancaran sinaran UV merosakkan kulit dan membuatkan anda kelihatan tua. Kulit wajah perlu dicuci dua kali setiap hari iaitu pada waktu pagi dan sebelum tidur. Ketahui jenis kulit suami anda. Kalau kulitnya jenis kering, gunakan pencuci yang melembapkan. Jika kulitnya berminyak, pilih jenis yang berasakan gel ataupun minyak. Ingat, kulit berminyak membuatkan pori tampak besar.

2. Skrub Wajah

Skrub kulit wajah dua hingga tiga kali seminggu, bergantung kepada jenis kulit. Pilih skrub yang mengandungi salicylic acid kerana ia untuk pengelupasan kulit dan melembapkan dalam masa yang sama. Skrub wajah menanggalkan kulit mati seterusnya membuatkan wajah kelihatan berseri dengan warna kulit sekata. Ingatkan suami anda untuk skrub wajah ya.

3. Krim Pelembap

Ia bertindak melembapkan kulit sekaligus melambatkan proses penuaan wajah. Tidak kira kulit kering atau berminyak, krim pelembap membantu meneutralkan keseimbangan PH kulit. Suami anda pasti kelihatan lebih muda daripada usia sebenar jika rajin memakai krim pelembap.

4. Toner

Produk paling remeh dan dirasakn tidak penting buat lelaki dan sesetengah wanita. Toner bertindak menyeimbangkan PH kulit serta mengecilkan liang pori. Malah ia juga memberikan perlindungan ekstra kepada kulit selepas mencuci wajah. Toner juga menyegarkan kulit dan anda hanya perlu mengoles ke seluruh wajah menggunakan kapas, sebelum memakai krim pelembap.

5. Krim Tabir Sinar

Oleh kerana suami lebih banyak terdedah kepada sinaran matahari kerana menunggang motorsikal ataupun bersukan bersama rakan, ingatkan si dia untuk mengoles krim tabir sinar. Pilih krim yang mengandungi SPF 20 ke atas. Lebih tinggi SPF itu bermakna lebih lama ia boleh melindungi wajah daripada sinaran UV sehingga enam jam. Krim tabir suria bertindak untuk melindungi kulit daripada selaran matahari yang menyebabkan kulit rosak, kelihatan kusam dan menghindari daripada kanser kulit.

Foto: depositsphotos.com