Seri Perabot Kayu Dalam Kediaman Moden

Rahsia rumah terlihat lebih segar daripada biasa.

Naikkan seri teratak moden berinspirasikan tradisional dengan percikan elemen kayu minimalis. Biar kediaman anda tampak segar dan tidak lapuk dek zaman.

Rumah berkonsepkan moden tidak hanya terhad dengan perabot serta perhiasan tertentu. Sekiranya jiwa anda menginginkan kediaman moden dan mendapat sedikit sentuhan lama, boleh saja tambahkan elemen kayu ke dalam keseluruhan tata rias. Sebagai contoh, anda boleh menggunakan sofa dan meja makan berunsurkan kayu, kemudian lengkapkan dekorasi dengan hiasan kusyen kecil, bingkai gambar atau lampu meja sisi yang moden.

Berikut adalah sedikit panduan bagaimana ingin menerbitkan aura kediaman moden menggunakan perabot kayu:

  1. Untuk menampakkan tema moden lebih menyerlah tanpa dibayangi imej kayu yang mungkin menenggelamkan gaya keseluruhan, pastikan reka bentuk perabot itu sendiri tampak moden dan minimalis. Elak perabot jenis kayu berukiran yang tampak lama. Sebaiknya, anda boleh pilih perabot bercirikan tema skandinavia atau mid-century yang moden.
  2. Anda perlu menggunakan tema warna yang lebih cerah dan lembut bagi memberi kesan kontra yang menarik pada sesebuah ruang.
  3. Gunakan mentol dengan cahaya hangat untuk memberikan kesan keselesaan yang maksimum. Ia juga akan dapat melengkapi tata rias berelemenkan kayu.
  4. Setelah memasukkan parabot kayu, pastikan anda tidak terlebih menghias ruang berkenaan. Keseluruhan dekorasi harus nampak ringkas. Hiasan dinding juga jangan keterlaluan untuk memberi impak moden yang lebih berkesan.
  5. Sofa kayu akan nampak lebih moden sekiranya dipadankan dengan hiasan fabrik bercorak lembut atau bercorak kosong dan berona cerah.
  6. Jangan lupa menggilap perabot kayu anda secara berkala. Hal ini dapat mengelakkan habuk degil daripada melekat, selain perabot akan sentiasa tampak berkilat dan baru.

Tip oleh: Darlina Roslan, Pengurus Pemasaran Nusa Indah Bina