Reviu Jelita: Kaca Mata Berlagu Huawei X Gentle Monster

Sesuai juga untuk wanita bertudung!

Sesuai dengan gaya hidup hari ini, sisipan muzik dalam rutin harian pasti meringankan mood biar bagaimana stres momen dilalui.

Menambah pada pilihan cara mendengar lagu kegemaran, Huawei bekerjasama dengan Gentle Monster untuk melancarkan kaca mata pintar yang tampak bergaya.

Editor Jelita, Anida Salwani menggayakan kaca mata pintar Huawei X Gentle Monster.

Apa yang menarik mengenai aksesori fesyen ini adalah ia mempunyai ciri hiburan! Ia adalah kaca mata yang mengeluarkan lagu menerusi Bluetooth kepada telefon bimbit atau gajet anda.

Mudah kata, anda perlu hubungkan pada gajet dengan perpustakaan lagu kegemaran, nah! Anda dihiburkan dengan muzik pilihan pada bila masa anda menyarungkan kaca mata berkenaan.

Kaca mata pintar ini adalah yang pertama dikeluarkan Huawei bersama Gentle Monster dan kini sudah mula dijual di Malaysia. Hasil daripada kerjasama Huawei dengan jenama kaca mata hitam dan optikal dari Korea Selatan ini, ia bukan sekadar aksesori yang bergaya, ia adalah peneman gaya hidup anda daripada hiburan ke komunikasi.

Anda boleh menikmati muzik tapi masih boleh peka dengan keadaan sekeliling.

Kaca mata ini mempunyai dua pembesar suara dengan rekaan separa terbuka digabungkan dengan directional sound beams. Ia membolehkan pemakai Huawei X Gentle Monster ini diselimuti audio namun ‘kebocoran’ bunyi dapat diminimumkan.

Bayangkan anda boleh mendengar lagu dan bergembira tanpa mengganggu orang sekeliling dengan bunyi daripada muzik anda!

Jelita yang telah mencubanya juga suka akan kualiti audio yang dikeluarkan, seakan mendengar headphone canggih tanpa perlu menekupnya ke telinga. Mereka di tepi anda takkan dapat dengar jelas apa yang anda sedang dengari (melainkan anda maksimumkan suaranya).

Reka bentuknya juga sesuai digayakan lelaki mahupun wanita. Malah, wanita bertudung tidak lagi perlu rasa rimas perlu memakai earphones bertali menyukarkan pergerakan, atau rasa sakit telinga bila menyarung earphone tanpa tali terlalu lama.

Paling penting, nampak sungguh cool. Bayangkan di dalam MRT, menyarung kaca mata pintar ini, seakan dalam dunia sendiri.

Huawei X Gentle Monster ini hadir dalam dua rekaan berbeza – Smart JackBye-01 dan Smart Eastmoon-01. Ianya hadir dengan ciri tahan percikan, air dan habuk, jadi bila hujan tidaklah perlu gusar.

Cara mengecasnya? Masukkan dalam sarung kaca mata kerana sarung itu bertindak sebagai pengecas tanpa wayar. Ia akan mengecas kaca mata berkenaan bila sahaja anda memasukkannya dan ia ada hayat bateri selama lapan jam bila sudah dicas sepenuhnya.

Untuk kaca mata itu, anda boleh memainkan muzik sehingga dua setengah jam!

Ianya dijual di rangkain kedai Huawei dan dalam talian pada harga RM1,599.

 

Baca juga: 10 Lagu Ini Antara Yang Popular Pada 2019

Rekaannya sesuai untuk lelaki mahupun wanita.

Pembesar suara built-in membolehkan panggilan didengar dengan jelas bila terhubung pada telefon bimbit menggunakan Bluetooth.

Casing Huawei X Gentle Monster.

Kaca mata pintar ini tersimpan kemas dalam bekasnya.

Pada masa sama, dicas untuk penggunaan seterusnya.

Nampak stylish untuk anda yang mempunyai gaya hidup ranggi.