Baby Hatch, Membela Nasib Bayi Terbuang Dan Lahir Luar Nikah (Bahagian 1)

Bayi ini juga berhak diberikan peluang untuk hidup

Pilu hati ini apabila melihat berita di kaca televisyen mahupun di dada akhbar tentang penemuan bayi. Lebih sedih apabila bayi ini ditemukan di tempat yang tidak sepatutnya seperti di dalam tong sampah, tandas, longkang dan sebagainya dan ditemukan dalam keadaan berbalut dengan plastik mahupun diletakkan di dalam kotak. Kecewa melihat bayi yang suci dan tidak berdosa ini dibuang bagaikan sampah oleh manusia yang tidak berperikemanusiaan.

Isu pembuangan bayi ini bagaikan tiada kesudahan di negara ini. Menurut statistik yang dikongsikan oleh PDRM, sehingga tahun 2018 terdapat peningkatan dalam kes pembuangan bayi. Dengan 38 janin dan 90 lagi adalah bayi cukup sifat yang baru lahir. Ini menjadikan jumlah keseluruhan bayi yang dibuang daripada tahun 2014 sehingga tahun 2018 adalah 577 dengan 142 daripadanya adalah janin manakala 435 adalah bayi cukup sifat yang baru lahir.

Gambar Depositphotos

Bagi negeri yang mempunyai kes buang bayi yang paling tinggi adalah Selangor dengan jumlah sebanyak 135 kes. Ini diikuti dengan Sabah sebanyak 67 kes. Kuala Lumpur dan Johor pula mempunyai 62 kes. Negeri Perlis pula mencatatkan jumlah terendah dengan tujuh kes.

Menurut kajian yang dilakukan Better Care Network,  konsep Baby Hatch  ini adalah berdasarkan daripada ‘foundling wheels’ pada abad ke 12 di mana gereja dan biara di Eropah dipasangkan silinder kayu pada dinding untuk meletakkan bayi di dalamnya. Ibu bapa, penjaga atau individu yang menghantar bayi tersebut akan memutarkan roda untuk memindahkan bayi ke dalam bangunan dan memaklumkan biarawati dengan membunyikan loceng.

Pada tahun 1950 pula, Jerman memulakan program Baby Hatch  ini dan sejak itu banyak lagi negara lain yang mengadaptasi program tersebut untuk membolehkan ibu atau penjaga untuk meninggalkan bayi mereka di tempat yang lebih selamat.

Di Malaysia pula, terdapat 12 tempat yang mempunyai Baby Hatch . Kebanyakannya di hospital dan juga di Yayasan Orphancare. Ia bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada bayi yang terbuang. Selain itu, Baby Hatch  ini juga berfungsi sebagai tempat untuk menempatkan bayi yang tidak diingini oleh penjaganya sama ada disebabkan anak itu tidak cukup sifat atau penjaganya tidak berupaya untuk menjaga bayi tersebut.

Ikuti temubual khas Jelita bersama dengan Yuzila Yusof, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Orphancare untuk mengetahui lebih lanjut mengenai yayasan tersebut.

1 of 4

Apa sebenarnya yang dilakukan di Yayasan OrphanCare ini?

OrphanCare menyediakan baby hatch di mana kita menyediakan peti pelindungan bayi untuk orang meletakkan bayi supaya bayi dapat diselamatkan daripada dibuang dan dari diletakkan di tempat-tempat yang merbahaya. Di samping itu, OrphanCare juga mengeluarkan anak yatim dari rumah-rumah anak yatim untuk dikembalikan kepada pangkuan keluarga ataupun keluarga angkat kerana kami percaya setiap anak lebih baik dibesarkan di persekitaran sebuah keluarga.

1 of 4