Petua Berkesan Halau Anak Lipas Dalam Kereta

Jangan biar ia beranak-pinak dalam kenderaan anda!

Bayangkan sedang memandu, serangga kecil ini merayap pada papan panduan depan atau di tepi tingkap dalam kereta anda? Boleh histeria dibuatnya terutama pada mereka yang jenis geli pada lipas.

Imej: DepositPhotos

 

Kereta sering menjadi sasaran sarang lipas kerana kebiasaannya ada sisa makanan yang mungkin terjatuh dalam kenderaan sama ada dilakukan anda sendiri atau anak yang menjadi penumpang. Jika tidak dikemas dan dibersihkan segera, memang ia seakan satu ‘panggilan’ buat serangga pengotor dan pembawa penyakit ini.

Apa kata cuba petua termasuk bahan alami ini untuk cuba menjauhkan anak lipas daripada kereta anda.

  1. Gunakan Daun Pandan. Ia mengeluarkan aroma yang kuat terutamanya bila dicarik-carik kecil justeru, lipas cukup benci akan baunya. Kerat atau carik daun ini dan masukkan ke dalam uncang, letakkan di bahagian letak barang di belakang atau gantung dekat dengan lubang pendingin hawa kereta supaya baunya semerbak dalam kereta. Lagipun, bau daun pandan tidaklah menjengkilkan. Namun, jangan biarkan daun itu mengering pula. Gantikan dengan yang baru atau buang kerana anda tidak mahu daun pandang kering menarik perhatian serangga lain pula.
  2. Daun Durian Belanda. Memang agak unik tetapi dikatakan berkesan untuk menghalau anak lipas. Cara menyimpannya dalam kereta sama seperti daun pandan. Tetapi menariknya tentang daun durian belanda, ia lebih berkesan bila sudah kering. Apa kata gunakan uncang teh daun belanda dan letakkan dalam kenderaan? Cubalah!
  3. Perangkap Gam. Bagusnya digunakan di dapur namun boleh juga letak di dalam kenderaan tetapi sebaiknya jauh daripada anak kecil anda. Cari yang jenis anti-toksik atau semula jadi. Letakkan dalam kereta pada waktu malam. Lagipun, waktu ini anak lipas paling aktif bergerak.
  4. Penyembur Serai Wangi. Aroma serai wangi juga tidak digemari lipas. Jika hendak lebih semula jadi, rebus serai wangi kemudian dinginkan airnya. Masukkan dalam botol semburan dan gunakan pada kawasan yang anda jangka menjadi tempat anak lipas ‘bermain’.
  5. Rajin-rajinlah Bersihkan Kereta. Sisa makanan yang tertinggal kenalah dibuang supaya tidak mengundang apa jua jenis serangga untuk jadikan kereta anda sebagai habitatnya. Mencegah lebih baik daripada merawat, betul tak?

Baca juga: Petua Mudah Halau Semut Dan Cicak di Rumah

Buahnya anda makanlah, tapi daunnya bila mengering, gunakan sebagai pencegah anak lipas dalam kereta.

Lipat dan simpul daun pandan sebegini dan selitkan pada lubang pendingin hawa. Aromanya boleh menghalau serangga.