Pendidikan Jadi Keutamaan di Yayasan Chow Kit

Ilmu menjadi asas penting dalam membangunkan insan berguna.

Yayasan Chow Kit pastinya tidak asing lagi di Malaysia. Ia mengangkat misi melindungi hak kanak-kanak dan remaja yang kurang berkemampuan dengan menyediakan tempat perlindungan yang selamat, selain memberi pendedahan kepada mereka dengan peluang baik yang membolehkan mereka mencapai potensi penuh untuk masa depan gemilang. Yayasan Chow Kit turut percaya dengan prinsip menghormati hak setiap anak dan akui setiap anak yang dilahirkan harus diberi layanan sama tanpa mengira bangsa, agama, jantina, keupayaan, usia dan status sosio-ekonomi.

Menurut Pengasas Yayasan Chow Kit iaitu Dr Hartini Zainudin, dia mendapat inspirasi daripada pengalamannya berada di Amerika Syarikat selama 20 tahun. Di sana, Hartini banyak meluangkan masa menjadi sukarelawan untuk pelbagai program yang melibatkan kanak-kanak. Daripada situ, dia menyedari akan rasa minat dan sayangnya kepada kanak-kanak. Hal ini telah mendorong Hartini untuk membuka jalan sebaiknya buat anak kurang berkemampuan dalam menempuh fasa membesar yang mencabar.

“Tujuan utama yayasan ini ditubuhkan adalah demi membela dan mempertahankan hak kanak-kanak yang ditakdirkan menempuh nasib kurang baik. Kami menyediakan perkhidmatan terus kepada kanak-kanak sekeliling Chow Kit bagi memastikan mereka ada tempat untuk tinggal dan belajar, mendapat makanan yang mencukupi dan sebagainya. Kami juga perlu berdamping rapat dengan kanak-kanak bagi memahami mereka dengan lebih baik dan mewujudkan program bersesuaian dengan keperluan mereka,” jelas Hartini.

Peluang Pendidikan Sewajarnya

Terdapat anak yang lahir namun tidak didaftarkan, ada juga yang lahir daripada keluarga dengan pendapatan rendah hingga tidak mampu memberikan pendidikan sewajarnya, apatah lagi untuk dihantar ke kelas tambahan atau program selepas sekolah. Menyedari hakikat ini, Yayasan Chow Kit menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk membantu terutamanya daripada segi pendidikan, selain mencungkil bakat muda.

Ananti Rajasingam, Ketua Pegawai Eksekutif di Yayasan Chow Kit pula berkongsi antara aktiviti yang melibatkan proses mendidik kanak-kanak yang berdaftar dengan yayasan ini. Terdapat dua pusat yang dikendalikan iaitu Pusat Aktiviti Kanak-Kanak yang dikhususkan kepada kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun, manakala Kuala Lumpur Krash Pad pula untuk remaja berusia 13 hingga 18 tahun.

Tujuan utama penubuhan pusat ini adalah untuk mewujudkan persekitaran selamat buat kanak-kanak serta remaja dalam melakukan pelbagai aktiviti, selain dijaga rapi oleh pekerja yang memahami. Pusat aktiviti sebegini menjadi lokasi terbaik bagi golongan muda berisiko untuk melakukan aktiviti berfaedah, sekali gus mampu mengelakkan mereka daripada terjebak dengan pengaruh tidak baik di luar sana. “Kami menyediakan banyak aktiviti setiap hari. Bermula dengan sesi pembelajaran hingga kepada sukan seperti futsal, taekwondo dan aktiviti gimnasium, rekreasi seperti mengadakan lawatan sambil belajar ke muzium atau kilang pembuatan serta banyak lagi,” kata Ananti.

Tidak cukup dengan itu, yayasan ini menyediakan perkhidmatan homeschooling untuk kanak-kanak serta remaja yang tidak berupaya untuk didaftarkan ke sekolah harian biasa. Mereka yang tiada akses kepada pendidikan di sekolah biasa, diajar mengikut silibus yang sama oleh guru tetap yang sangat berdedikasi. Apa yang diajar adalah mengikut keupayaan pelajar itu sendiri.

Kesedaran Membantu

Bercerita lanjut mengenai perancangan masa depan Hartini bersama yayasan, dia menegaskan mahu terus berusaha keras dalam menyediakan keperluan buat golongan muda yang menjadi harapan negara. Dia mahu membuka peluang pendidikan alternatif yang berbeza yang menjadi platform kejayaan mereka.

“Kanak-kanak yang mendaftar dengan Yayasan Chow Kit dapat kuatkan diri mereka dengan pendidikan yang mereka perlu, bukan apa yang kita sebagai dewasa suruh atau mahukan untuk mereka. Impian saya adalah untuk memastikan setiap kanak-kanak mempunyai akses sama rata dalam pendidikan dan menyediakan cabang ilmu berlainan untuk semua. Daripada situ kami yakin anak ini akan berjaya walau apa pun yang mereka mahu lakukan dalam hidup.

“Sebagai seorang dewasa dan bergelar ibu atau bapa, kita semua tidak seharusnya tertumpu pada anak sendiri sahaja. Malah, tanggungjawab itu sebenarnya adalah lebih meluas. Peka dengan isu yang berlaku di sekitar anda. Beri bantuan serta sokongan kukuh pada kanak-kanak yang memerlukan. Saya yakin, setiap anak yang dilahirkan, mampu memberi sumbangan dan peranan berbeza suatu hari nanti. 

“Anda harus percaya bahawa pendidikan itu sendiri sesuatu yang luas dan bukan hanya terkongkong pada apa yang boleh didapatkan di sekolah biasa sahaja. Anda juga boleh memainkan peranan dalam memperkasakan anak yang tidak mampu ini dengan menyokong Yayasan Chow Kit dan memberikan sumbangan,” kata Hartini mengakhiri perbualan.

Foto: Depositphotos