6 Panduan Mengurus Almari Pakaian

Kemas dan susun apa yang ada dalam almari anda, sekarang!

Almari pakaian adalah salah satu keperluan utama dalam sesebuah kediaman. Memilikinya mudah, tetapi untuk menjaganya agak sukar, apatah lagi jika anda sibuk dengan kerja setiap hari hinggakan tiada masa untuk mengurusnya.

Namun, anda pasti pernah melalui momen di mana anda rimas melihat almari pakaian yang berselerak, bukan? Ia bukan saja tidak enak dipandang, malah akan menyukarkan anda untuk memilih pakaian yang dimahukan. Atas sebab ini, anda mesti juga curi masa menguruskan almari agar ia terlihat kemas sentiasa. Tipnya adalah seperti berikut:

Gunakan penyangkut pakaian yang sama

Jadikan sebagai tanggungjawab anda untuk memastikan penyangkut yang digunakan adalah sama dari segi warna, jenis, bentuk dan susunan kepalanya agar ia kelihatan seragam dan sedap mata memandang.

Pastikan semua pakaian digantung menghadap arah yang sama

Demi memastikan almari kelihatan lebih tersusun, pastikan tag, saiz, butang mahupun leher kolar pakaian anda menghadap arah yang sama. Ia juga akan memudahkan anda memilih dan mencapai pakaian yang ingin dipakai setiap hari.

Asingkan pakaian mengikut kod warna

Cipta satu kaedah yang boleh memudahkan anda untuk melihat pilihan warna pakaian. Cara ini juga dapat mempercepatkan proses suai padan dalam memilih konsep pakaian harian.

Sediakan ruang untuk aksessori

Tali pinggang, tas tangan dan sebagainya hendaklah diasingkan di satu ruang mengikut kategori dan mudah untuk dijumpai. Gantung tali pinggang pada cangkuk dan susun tas tangan pada rak asing.

Susun baju anda

Pelbagai tip melipat baju dengan kemas boleh didapati di internet. Oleh itu, lipat dan susun menghadap bahagian yang terlipat untuk memudahkan anda mengeluarkannya daripada laci pakaian kelak. Pastikan juga semuanya tersusun mengikut kod warna. Ini dapat menjimatkan ruang dan masa anda dalam proses memilih pakaian.

Cipta satu sudut untuk capai dan gerak

Sudut capai dan gerak adalah untuk barang keperluan asas yang anda akan gunakan setiap hari. Contoh termudah untuk wanita ialah produk kecantikan.