Mulut Anda Sentiasa Berbau? Mungkin Ini Puncanya

Kenal pasti antara punca nafas anda berbau…….

Halitosis adalah masalah nafas atau mulut berbau yang tidak menyenangkan. Buka mulut sahaja pasti berbau, walaupun dari jauh. Aroma nafas sebegini membuatkan ramai orang mengelakkan diri untuk berkomunikasi dengan anda. Cegah sebelum terlambat! Jika anda tidak mengalami masalah mulut berbau, lebih baik berjaga-jaga agar tidak mengalaminya. Kenali punca mulut berbau hasil perkongsian Dr Fajriah Ramadhan Ismail daripada klinik pergigian USmile Ismail.

  1. Gigi berlubang

Gigi berlubang boleh mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan dari mulut anda. Jika anda mempunyai tampalan pada gigi, periksa sekiranya tampalan tidak lagi elok. Selain itu, pastikan tiada makanan terselit atau tersangkut pada celah gigi dalam jangka masa panjang. Berus gigi dengan kerap sekurang-kurang dua kali sehari dan pastikan anda berus juga lidah sebelum tidur!

  1. Gusi berdarah

Jika gusi anda berdarah ketika memberus gigi, jangan terus berkumur. Pastikan anda memberus sehingga darah berhenti kerana jika tidak, gusi boleh membengkak. Gusi berdarah disebabkan celahan gusi yang masih terdapat plak dan tidak diberus dengan bersih. Gusi bengkak akan menyebabkan pengeluaran darah, kemudian apabila mulut kering, terjadilah masalah nafas berbau – terutamanya bagi anda yang jarang minum air. Perokok juga berisiko tinggi untuk mengalami masalah gusi berdarah disebabkan asap rokok yang melekat pada gigi dan gusi.

  1. Sistem dalam badan

Sekiranya anda tidak mengalami sebarang masalah pada gigi dan mulut, periksa sistem dalaman tubuh. Kemungkinan anda mempunyai ulser pada perut yang juga boleh mengeluarkan bau mulut yang tidak menyenangkan. Selain ulser, penyakit paru-paru dan sinus yang kronik turut memberi kesan pada masalah ini. Sesekali, anda perlu buat pemeriksaan dalaman tubuh untuk mengetahui jika ia memberi kesan pada kesihatan gigi anda.

  1. Pengambilan makanan

Cara pengambilan makanan anda juga memainkan peranan penting. Jika anda gemar mengambil makanan yang tidak sihat seperti makanan ringan, segera dan makan secara berlebihan, ia akan mengundang kepada masalah mulut atau nafas berbau. Apa yang anda makan, memberi kesan pada seluruh tubuh termasuk kesihatan gigi. Anda boleh cuba amalkan gaya pemakanan sihat. Elakkan mengambil minuman manis dan alkohol secara berlebihan.

Anda boleh membuat pemeriksaan di klinik pergigian dahulu untuk mengenal pasti apa masalah anda. Sekiranya anda tidak mengalami sebarang masalah kesihatan gigi, buat pemeriksaan sistem badan. Mencegah lebih baik daripada merawat!

Sumber gambar utama: Deposit Photos

Lihat juga: Pakaian Dalam Tanpa Tulang & Dawai Untuk Keselesaan Sepanjang Hari