#COVID19: Mitos Covid-19 Anda Kena Tahu!

Usah mudah terpedaya dengan 'fakta' ini.

Bila ada perkongsian menerusi sosial media atau WhatsApp terutamanya, sukar hendak bezakan yang mana betul, yang mana palsu.

Foto: Depositphotos

Ada kala, informasi dihantar bunyinya lojik, tetapi bila sampai pada pengetahuan pakar, ada yang ditangkis dan dinafikan.

Ini antara mitos berkaitan Covid-19 yang anda kena tahu dan ingati.

MITOS: Pengering Tangan Boleh Membunuh Covid-19

Sebenarnya… Ia tidak berkesan membunuh virus. Tugasnya hanya mengeringkan tangan anda yang basah. Justeru, keraplah basuh tangan dengan pembasmi kuman yang berasaskan alkohol, sabun ataupun air. Kemudian, keringkan tangan.

MITOS: Lampu UV Untuk Bunuh Virus Covid-19

Sebenarnya… Tidak boleh digunakan untuk mensterilkan tangan atau kawasan kulit yang lain. Sebaliknya, radiasi UV mungkin boleh menyebabkan iritasi atau kegatalan pada kulit.

MITOS: Pengesan Haba Dapat Kesan Virus Covid-19 Dalam Tubuh

Sebenarnya… Ia hanya pembaca suhu badan, tetapi tidak dapat mengesan mereka yang dijangkiti Covid-19 jika orang itu tidak demam. Pada masa ini, ia mengambil masa dua hingga 10 hari untuk individu yang dijangkiti jatuh sakit dan demam.

MITOS: Semburan Alkohol Atau Klorin

Sebenarnya… Tindakan ini tidak akan membunuh virus yang telah memasuki badan. Menyembur bahan-bahan tersebut boleh memudaratkan pakaian atau membran mukus seperti mata dan mulut. Ia sebenarnya berguna untuk membasmi permukaan meja dan sebagainya, tetapi perlu digunakan dengan penuh berhati-hati.

Oleh itu, Jelita ingin menasihatkan anda supaya jangan sesekali mudah percaya dengan apa yang disebarkan di dalam media sosial, lebih-lebih lagi dalam keadaan genting sekarang ini.

Tanya pada pakar yang berkaitan untuk memastikan maklumat tersebut betul-betul sahih dan datang daripada sumber yang betul.

SUMBER: Bernama

 

Baca juga: Langkah Kerajaan Bantu Ringankan Beban Rakyat