Mikrofon Siti Nurhaliza Tak Berfungsi, Peminat Mengamuk Di Laman Sosial

Netizen salahkan produksi AJL34.

Silap besar kalau anda cuba berani mengutuk penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza. Peminat fanatiknya pasti akan menyerang anda. Layaklah Siti diangkat sebagai ikon industri muzik kerana reputasi dan kredibilitinya memang tiada tandingan.

FOTO: Instagram/TV3Malaysia

Apabila diumumkan yang Bob akan menggantikan Siti untuk mempersembahkan lagu Anta Permana di Anugerah Juara Lagu ke-34, seluruh negara meluahkan kekecewaan. Bukan kerana Bob tidak layak, tetapi rata-rata peminat Siti mahu melihat idola mereka itu kembali beraksi di pentas AJL. Kali terakhir Siti bertanding di pentas berprestij itu ialah pada tahun 2007 untuk AJL22 menerusi lagu Destinasi Cinta.

Jadi, apabila Siti membuat kejutan muncul di saat akhir ketika Bob mendendangkan Anta Permana, seluruh stadium Axiata, Bukit Jalil bersorak kegembiraan. Seolah-olah ia merupakan kemuncak kepada pertandingan AJL34. Bagaimanapun mikrofon Siti mengalami masalah teknikal di saat awal nyanyian membuatkan peminat hampa dan marah.

Vokal Siti kedengaran selepas lebih kurang lima saat dia memulakan nyanyian. Peminat dan netizen meluahkan rasa marah di laman sosial dan komen-komen kekecewaan mereka membanjiri ruang komen di laman sosial dan YouTube TV3. Menurut mereka, kesilapan seperti itu tidak harus berlaku apatah lagi produksi TV3 sudah berpuluh tahun menjayakan Anugerah Juara Lagu.

Bagaimanapun, tahniah buat pencipta bersama lagu Anta Permana, Hael Husaini dan Ezra Kong kerana berjaya meraih tempat kedua, kurang beberapa markah daripada Juara AJL34, Sumpah oleh Naim Daniel.