Kisah Frontliner #Covid19: Ngeri Bila Pesakit Tidak Berterus-terang

Luahan seorang juruimbas-X tentang situasi hari ini.

Demi tugas, apa jua pesakit dan penyakit yang mendatang, harus dihadapi dengan penuh amanah.

Tetapi, sebagai manusia biasa, sukar hendak tangkis rasa takut terutamanya pada Covid-19 yang virusnya masih tebal menyelubungi rakyat Malaysia. Apatah lagi penawar pada penyakit masih belum diketahui dengan jelas dan jumlah kes pula meningkat setiap hari.

Biarpun sudah berulang-kali dinasihati untuk telus dengan informasi dikongsi bila masuk ke hospital atau pusat kesihatan berkenaan, tetapi barisan depan kesihatan masih berdepan dengan pesakit yang tidak berterus-terang.

Seperti yang dilalui Azri Syazwani Zabidi, 31, yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Wanita yang mempunyai tiga anak termasuk sepasang kembar ini menjalani hidupan harian sebagai JuruX-Ray di sebuah pusat perubatan terkemuka negara dalam keadaan berbeza daripada kebiasaan.

Ikuti temu bual Jelita bersamanya yang dilangsungkan menerusi WhatsApp.

LAMA MANA WANI SUDAH BERKHIDMAT?

Sudah 10 tahun.

PERASAAN BILA DAPAT TAHU AKAN KEMUNCULAN COVID-19?

Pertamanya, agak keliru kerana ingatkan ia hanya virus yang tidak membawa maut dan mungkin ada penawar apatah lagi simptom yang ditunjukkan pesakit adalah normal seperti demam, batuk, sukar bernafas… Tetapi bila melihatkan peratusan kes di China makin meningkat dan ia cukup mudah merebak, mula rasa risau.

Selain itu, hospital kami mula menerima pesakit dengan Covid-19. Lebih teruk bila kami diberitahu, penyakit ini tiada penawar (setakat ini) dan berjangkit menerusi titisan cecair badan. Bila hospital memberitahu yang ia akan menjadi satu daripada pusat rawatan Covid-19 di Malaysia, terasa bimbang tetapi kenalah bersedia untuk hadapi keadaan paling buruk sekalipun.

Pada masa ini, hospital kami hanya fokus pada pesakit Covid-19 sahaja dan pesakit lain telah dipindahkan ke hospital berdekatan.

BAGAIMANAKAH SHIF KERJA WANI SEJAK BERLAKUNYA COVID-19?

Sebelum wabak ini, shif kerja saya adalah jam 8 pagi hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat tetapi kini jabatan kami terbahagi kepada dua pasukan.

Team A berkerja jam 7.30 pagi hingga 2.30 petang (shif pagi), 2.30pm ke 9.15mlm (shif petang), 9.15 malam hingga 7.30 pagi esoknya (shif malam) dan semuanya ditempatkan di jabatan trauma dan kecemasan. Ada yang perlu standby 24 jam bagi kes portable X-ray bagi pesakit positif Covid-19  dan 24 jam untuk imbasan CT.

APAKAH RUTIN HARIAN WANI PADA MASA INI?

Jika saya bekerja shif pagi, rutin saya adalah bangun seawal jam enam pagi untuk siapkan anak dan hantar ke rumah ibu yang jaraknya dalam 10 minit. Terus ke tempat kerja dan di situ, setiap orang diarah memakai scrub suit sebelum mulakan kerja.

Jika pesakit disyaki positif Covid-19, kami perlu pakai sut Personal Protective Equipment (PPE) sebelum memulakan kerja. Saya akan tamat shif kerja sekitar 2.30 petang, akan mandi dan pakai baju bersih sebelum pulang ke rumah. Jika perlu on-call, saya akan duduk di hospital sehari sehingga petugas seterusnya datang keesokan harinya.

BAGAIMANA WANI TERAPKAN RASA POSITIF DAN SENTIASA BERSEMANGAT SEPANJANG BERTUGAS?

Pada permulaan hari, sewaktu Subuh itu saya pasang niat yang bekerja itu satu ibadah pada Allah, niat untuk tolong orang dan bila buat kerja, kenalah lakukan dengan bersungguh-sungguh.

Bekerja dalam satu pasukan kena saling membantu, semua perlu menggembleng tenaga baik jururawat, doktor mahupun petugas kesihatan yang lain.

Rakan juga main peranan juga supaya saling mengingati akan tatacara mengendalikan pesakit Covid-19 supaya kurangkan tekanan kerja. Akhir sekali, anak dan suami serta keluarga selalu beri semangat untuk bekerja kerana ia menjanjikan pahala lumayan.

PENGALAMAN PALING MENAKUTKAN DI TEMPAT KERJA, SETAKAT INI?

Bila dapat pesakit yang kita tak tahu latar belakangnya. Selepas saringan pertama pesakit itu akan dihantar untuk menjalani imbasan X. Selalunya pesakit enggan bercerita perkara sebenar, jadi kami sangka dia pesakit biasa. Tetapi selepas buat saringan, dan buat imbasan-X, dia mula batuk teruk. Selepas dua jam baru tahu dia positif Covid-19.

Ya Allah… Masa itu, walaupun memakai PPE tetapi bila dapat tahu dia tak jujur dengan maklumat penting, dan ada sejarah perjalanan ke negara yang dijangkiti, itu yang buat kami rasa kecewa kerana kami juga terdedah pada penyakit itu.

JIKA DIBERI PELUANG UNTUK PERBAIKI KEADAAN, APA YANG WANI AKAN LAKUKAN?

Kalau boleh, biarlah semua pesakit berterus-terang dan kongsikan semua maklumat tepat mengenai status kesihatan masing-masing kerana virus ini akan menyerang mereka yang ada penyakit kronik lain seperti kencing manis contohnya.

Dan mereka kenalah lalui proses sanitasi yang betul setiap kali keluar masuk daripada rumah.

SIAPA YANG PALING WANI BERTERIMA KASIH PADA MASA INI?

Berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebab Wani rasa mereka telah lakukan kerja yang baik dalam mengendalikan situasi sekarang. Pelbagai pakej rangsangan dan tindakan diambil KKM untuk sanitasi kawasan yang terdedah.

APA YANG WANI PALING SYUKUR PADA MASA SEKARANG?

Berada dekat dengan keluarga sewaktu PKP ini, stok barangan masih ada bila perlukannya. Juga kesihatan diri yang optimum sewaktu jalankan tugas.

PESANAN WANI PADA RAKYAT MALAYSIA DI KALA PKP INI?

Tolonglah duduk di rumah, ayuh putuskan rantaian virus ini. Mematuhi arahan kerajaan itu adalah langkah yang terbaik. Jika anda ada simptom, tolong beritahu dengan cepat supaya boleh mendapatkan rawatan.