Kisah Di Sebalik Kezaliman dan Penindasan Etnik Uighur Di China

Semoga keadilan menjadi milik mereka.

Berita global mendedahkan kisah sebenar di sebalik kem tahanan melibatkan etnik Uighur di Xinjiang, China. Lebih sejuta bangsa Uighur yang kesemuanya beragama Islam ditempatkan di sebuah kem dan diasingkan dari dunia luar, kononnya sebagai kem latihan.

Foto: depositphotos.com

Menerusi laporan media antarabangsa, kem tahanan tersebut sebenarnya adalah sebagai salah satu cara untuk menghapuskan etnik minoriti itu. Organisasi Hak Asasi Manusia (United Nation) dan pihak berkuasa dari negara-negara lain menggesa China untuk menghentikan penyeksaan itu.

Kerajaan China mendakwa kem tersebut adalah kem khas untuk memberikan pendidikan vokasional kepada bangsa Uighur. China juga melarang sebarang liputan di kem itu dan tidak mahu berkongsi sebarang maklumat mengenainya. Bagaimanapun dokumen penting mengenai kem itu tersebar beberapa bulan lalu seterusnya mendedahkan kegiatan sebenar kem itu.

Bilakah Penahanan Itu Mula Berlaku?

Hampir dua juta bangsa Uighur dan penganut Islam yang lain seperti Kazakh dan Uzbek telah ditahan sejak tahun 2017. Di luar kem tahanan itu sahaja hampir 11 juta bangsa Uighur yang tinggal di daerah Xinjiang menderita selepas pihak berkuasa melakukan penindasan kepada mereka.

Kebanyakan tahanan di kem itu tidak pernah terlibat dengan kes jenayah dan mereka tiada kuasa mempertahankan diri. Laporan media berkata, mereka tidak dibenarkan keluar dari China, menghadiri masjid ataupun menghantar sebarang teks daripada ayat-ayat Al-AQuran. Malah mereka digelar puak pelampau hanya kerana beragama Islam.

Lebih seribu kem tahanan dibina di daerah Xinjiang dan Parti Komunis China menguasai daerah itu sejak tahun 1949. Sesetengah bangsa Uighur yang juga berasal dari negara sempadan dikatakan telah lama memohon kemerdekaan daripada pihak China. Daerah Xinjiang meliputi 1/6 keluasan China dan berada di sempadan lapan negara seperti Pakistan, Kazakhstan dan Kyrgyzstan. Wartawan daripada Reuters melaporkan saiz kem tahanan itu semakin luas tiga kali ganda dalam masa setahun.

Foto: depositphotos.com

Apa Yang Berlaku Di Kem Tahanan?

Maklumat mengenai kem itu sangat terhad namun menurut pengalaman daripada beberapa bekas tahanan, mereka menyifatkan ia sebagai mimpi buruk. Tahanan dipaksa sujud kepada pihak Komunis dan menukar agama serta belajar bahasa Mandarin. Pergerakan mereka juga dikawal dengan kamera dan mikrofon. Lebih teruk lagi, mereka diseksa sehingga tidak tidur, kaum wanita dicabul dan dirogol, dipaksa mengugurkan kandungan serta disuntik supaya mandul. Beberapa bekas tahanan juga pernah menyaksikan rakan mereka membunuh diri kerana tertekan.

Sekiranya dakwaan ini adalah benar, diharap pihak berkuasa antarabangsa melakukan sesuatu kerana setiap manusia tidak kira bangsa dan agama, berhak menjalani kehidupan seperti manusia lain. Jelita mendoakan agar segala penindasan yang berlaku akan berakhir buat bangsa Uighur dan penganut Islam di China.

Sumber: cfr.orgĀ