Kempen Hari Wanita Sedunia 2020 Anda Kena Tahu!

Anda juga boleh laungkan ikrar tersendiri.

Makin menghampiri tarikh 8 Mac 2020, pelbagai jenama mahu meraikan Hari Wanita Sedunia dengan mengembangkan mesej #EachForEqual.

Kempen yang diketengahkan membawa mesej yang seakan sama. Wanita hari ini, pada tahun 2020 adalah lebih perkasa, lebih berkuasa, lebih tahu dengan apa diingininya dan lebih berilmu.

NETFLIX X UN WOMEN

Perkhidmatan hiburan menerusi streaming, Netflix bekerjasama dengan sayap wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) untuk membariskan koleksi siri, dokumentari dan filem pilihan 55 wanita terhebat dalam industri hiburan dari seluruh dunia termasuk Fatimah Abu Bakar dari Malaysia.

“Kolaborasi ini menceritakan cabaran berkongsi kisah wanita dan menunjukkan kepelbagaian setiap wanita berkenaan. Menjadikan yang pudar itu lebih jelas dan membuktikan hanya dengan membabitkan wanita di layar, di sebalik kamera dan dalam sebuah naratif, masyarakat boleh berkembang,” kata Anita Bhatia, Naib Pengarah Eksekutif UN Women.

“Penting untuk melihat watak wanita kuat di layar yang mampu mengetepikan cabaran agar dapat mengajar wanita lain untuk mengatasi sempadan. Saya paling rasa empowered bila terbabit dalam Maria, ia mencerminkan hidup saya sendiri dan menariknya, ia juga kena dengan realiti. Sebuah pengalaman yang benar-benar memperkasa diri,” kata Fatimah yang juga seorang penulis dan jurulatih lakonan yang memilih Babies, sebuah siri dokumentari yang mengkaji sains sedekad yang mendalami kehidupan tahun pertama seorang bayi.

Koleksi #BecauseSheWatched di Netflix akan dilabel dengan “XXX’s Women’s Day Pick” di mana anda boleh memilih kisah yang mahu ditonton.

HANYA UNTUK WANITA

Setiap wanita kena menyedari dan mengiktiraf yang dirinya ada mahkota tersendiri. Mereka bukan bersaing, tetapi mereka harus berpimpinan. Itu adalah tema yang diketengahkan jenama fesyen Hanya untuk IWD tahun ini.

Mempersembahkan 11 individu yang merupakan ‘ratu’ dalam caranya yang tersendiri, mereka mewakili semua bangsa, jantina, orientasi, usia dan latar belakang. Individu yang menyertai kempen Hold Her Crown Up ini adalah Sarah Khoo, Bibian Leong, Rathika Sheila, Hafreez Amminuddin, Sarah Rostam, Penny Choo, Engku Lok Lok, Juanita Ramayah, Leagha McMahon selain Veen Dee Tan, pengasas bersama Hanya juga Jaja Anuar, bekas Head Buyer di FashionValet.

Sejajar itu, Hanya melancarkan koleksi istimewa merangkumi dua kemeja-T, dengan tagline kempen dan satu kemeja-T oversized memaparkan lukisan wanita dengan tona kulit berbeza. Harga dijual antara RM79 hingga RM89 dan boleh didapati di shophanya.com dan Zalora mulai 6 Mac 2020.

CABARAN APPLE WATCH

Pada 8 Mac ini, pengguna Apple Watch seluruh dunia boleh meraih anugerah Activity eksklusif dan pelekat untuk Message bila mereka menyempurnakan senaman jalan kaki, berlari atau menggunakan kerusi roda selama 20 minit atau lebih.

BATIK BOUTIQUE X SEPHORA

Sesiapa yang membeli-belah produk kecantikan di Sephora Malaysia berpeluang menerima hadiah gelang atau kantung istimewa yang dihasilkan oleh Batik Boutique.

Gelang Black Shibori diperbuat daripada kayu yang diukir kemudian dibalut dengan seratus peratus sutera shibori. Sebanyak 300 set gelang dan kantung dibuat dan memakan masa selama 168 jam melibatkan lima artis batik dan tujuh tukang jahit.

Batik Boutique bertanggungjawab melatih wanita yang berpendapatan rendah untuk menghasilkan hadiah serta aksesori fesyen diperbuat daripada kain batik. Setakat ini, seramai 200 artisan bekerja di bawah Batik Boutique untuk meraih pendapatan serta mengasah skil pemasaran.

 

BACA JUGA: Blu Inc Media IWD 2020; 3 Wanita ‘Stand Together’ Hadapi Cabaran