“Kawal Nafsu & Kehendak” – Nasihat Tun M Untuk Selesaikan Wabak #Covid19

Juga tip Tun M untuk tajamkan minda!

Syabas buat Neelofa! Menggunakan nama, jenama dan platform media sosialnya untuk menyebarkan positiviti dan informasi yang berguna.

Sejak mulanya perintah kawalan pergerakan (RMO) seminggu yang lalu, selebriti yang juga pemilik perniagaan Naelofar ini menganjurkan sesi Live bersama nama-nama besar termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza dan terbaru, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad.

Sesi yang dinantikan ramai, malah Neelofa sendiri mengutip soalan kasual (tidak mahu yang berkisar politik) daripada pengikutnya sejak sehari sebelum. Pada mulanya sesi dijadualkan pada 11 pagi tetapi dianjak lebih awal setengah jam bagi menghormati permintaan Tun Mahathir sendiri.

Sesi live di Instagram @neelofa menyaksikan lebih 15,000 followers mengikuti sesi temu bual santai antaranya dengan Tun Mahathir menerusi @chedetofficial.

Ikuti sesi temu bual mereka (telah diringkaskan) di bawah:

Amalan Tun untuk jaga kesihatan memori agar kekal tajam?

“Kena kekal aktif, jangan bila letih sikit, hendak tidur lama-lama. Ini akan kurangkan kecergasan. Kena aktif, kena membaca, gunakan segala pancaindera, agar tidak jadi lemah. Gunakan apa ada pada diri kita.”

Buku yang paling beri pengaruh pada Tun?

“Saya memang jenis tak boleh duduk diam, mesti ada surat khabar atau majalah atau buku novel. Saya mesti baca, bila membaca baru rasa masa tidak berlalu dengan perlahan. Saya baca banyak jenis buku terutama berkaitan sejarah dan pada waktu ini, saya sedang membaca mengenai empayar orang Mongolia. Kerana ia ada kaitan dengan sejarah negara kita. Apa berlaku di sana ada kesan pada negara kita. Itu sebabnya kita kena ambil tahu sejarah negara Asia dan Asean. Dulu di sekolah saya banyak belajar mengenai sejarah negara Eropah jadi, sekarang saya ambil masa belajar buku sejarah negara Asia.”

Bagaimana cara hendak mulakan tabiat membaca dan kekal konsisten?

“Bila anda baca novel buku cerita, ianya menarik. Ada jenis buku yang tak dapat kita letak, rasa hendak baca sampai habis. Masa nak tidur pun nak baca sebab ianya interesting, (tak sabar) nak tahu apa berlaku selepas itu.  Bila penulis menulis satu chapter, dia tahu apa akan berlaku seterusnya dan dia buat anda juga hendak tahu apa berlaku seterusnya.

Mulakan dengan novel dan buku cerita (untuk membina tabiat) selepas itu, baru dapat baca buku sejarah dan seumpamanya. Jangan cari yang ditulis sebagai fakta sejarah semata-mata, tetapi ada jalan cerita. Itu yang memulakan keinginan untuk membaca. Bila saya dapat hadiah buku ada kala sehari dah boleh habis dan akan baca berulang kali.”

Siapakah sumber inspirasi Tun?

“Tiada siapa yang saya utamakan selain Nabi Muhammad SAW, kerana Baginda berjaya menukar bangsanya daripada jahil kepada yang cekap sehingga Baginda dapat dirikan satu tamadun terkenal di dunia, itu contoh yang baik. Ada tokoh lain dalam sejarah seperti Tsar di Rusia yang tukar negara mundur kepada maju. Ia mempengaruhi fikiran saya dan menjadi sumber inspirasi.”

Nasihat paling berguna yang diterima dan praktikkan?

“Pesan daripada ibu, dia beritahu kalau pergi mana-mana, jangan duduk terlalu lama. Jangan ganggu masa orang dan ganggu kerja mereka. Dalam bahasa Inggeris; don’t overstay your welcome. Sebab saya sudah jadi PM selama 21 tahun, jadi saya kena ikut cakap ibu dan pergi (letak jawatan) supaya orang tak bosan dengan saya.”

Ada orang kata, Tun suka bawa buku nota ke mana-mana?

“Selalu bawa nota bersama kerana kita tak boleh bergantung sepenuhnya pada ingatan, kita selalu lupa. Bila lihat apa-apa yang menarik saya kena catit. Buku itu ada segala apa yang saya lihat dalam perjalanan, pemandangan, bacaan saya. Saya catitkan perkataan untuk peringati apa yang saya baca dan lihat. Ini menjadi panduan sewaktu jadi PM untuk mengingati jemaah menteri yang berkenaan dengan apa yang mereka tak buat dan harus buat dan lain-lain.”

Nasihat Tun untuk tenang bila hadapi cabaran.

“Bila mengimbau kembali masa lampau, anda akan ingat ada banyak masalah kita hadapi tapi ada solusi dan cara atasinya. Jadi semua masalah lambat laun, dapat diatasi. Jadi bila kita terlalu memikir dengan masalah ini (0verthink) hingga tak dapat makan dan sebagainya, ia tak membawa pada resolusi pada masalah itu. Lagi baik kita bertenang, agar ia dapat diselesaikan. Walaupun saya terpaksa hadapi banyak masalah, lambat laun kita dapat laluinya.”

Tun M adalah pemimpin paling lama berkhidmat. Malaysia telah lalui banyak fasa – krisis kewangan dan kini wabak. Pendapat Tun tentang Malaysia yang ingin bangkit semula selepas Covid 19.

“Kita mesti displin dan kawal diri serta nafsu, (jika terlalu) ikut kehendak hati anda akan lakukan benda-benda yang tak bawa manfaat pada kita. Kena disiplin dan kawal kehendak dan perasaan kita, maka akan boleh terima apa namaaa… sekatan seperti tak boleh keluar rumah, lambat-laun kita akan tahu ini akan tamat. Ianya akan ambil masa lebih lama jika nafsu dan disiplin diri tidak dapat dikawal.”

Ada lima peratus yang tidak dengar cakap (untuk larangan keluar rumah), masih lepak di luar dan mungkin jadi agen penyebar. Jika diberi peluang Tun berjumpa dengan mereka, nak cakap apa?

“Saya akan minta depa tolong ikut peraturan. Kalau tak ikut peraturan kamu jadi mangsa, dapat jangkitan daripada orang lain. Jika kamu ada penyakit itu, akan bawa penyakit kepada keluarga dan ahli rumah mereka pula yang akan bernasib buruk kerana tingkah laku kamu. Maka ikutlah peraturan, keluarga dan diri serta negara.”

Nasihat buat peniaga, apa perlu usaha dalam keadaan dikuarantin dan selepas kuarantin?

“Hampir semua perniagaan boleh dibuat dari rumah dengan komunikasi baik dan boleh beli jual secara online. Tak perlu gerak, contoh buat jahitan makanan atau buat sesuatu barang, ia boleh dilakukan di rumah dan jual secara online. Ada orang kutip dan sampaikan pada pembeli. Banyak benda boleh buat walaupun kurang selesa, tapi pada masa ini, kenapa tidak tukar cara berniaga dan bekerja. Yakin dengan cara itu, tanpa keluar rumah juga masih boleh jalankan sebahagian daripada perniagaan kita.”

Saya juga mengaku, saya dan team berdepan cabaran mencari pendekatan yang berbeza, ada kekangan jadi lebih kreatif cari penyelesaian yang berbeza.

Nasihat Tun cara uruskan kewangan dalam keadaan sekarang?

“Biasanya pendapatan akan berkurangan justeru, perbelanjaan kenalah dikurangkan. Mana-mana perkara yang tak penting boleh tangguhkan dulu atau ketepikan, kerana kita tumpu kepada perkara penting saja, seperti makanan dan sebagainya. Dengan itu, kita dapat cara hidup yang baru. Hidup di rumah, seolah rumah itu jadi pejabat kita.

Teknologi berkaitan komunikasi hari ini adalah lebih baik berbanding dulu. Ada video conference seperti sekarang (rujuk pada sesi live), boleh berhubung dan berbincang dan bahas dan sebagainya. Komunikasi sekarang begitu baik, banyak kerja dulu tak mungkin dilakukan tapi sekarang, sudah boleh dilakukan. Kalau ada masalah besar, boleh bincang secara langsung dengan orang yang berkenaan.”

Ada cadangan berbeza untuk tangani masalah Covid-19, atau akan arahkan cara sama?

“Kuarantin adalah satu cara. Cara lain adalah menjaga kebersihan diri, basuh tangan, mandi… Aktif dalam rumah juga perlu kerana perlu bersenam. Saya sendiri ada basikal dan treadmill di rumah, buatlah sedikit kalau tak dapat buat banyak tapi asalkan mengguna otot dan tubuh badan kerana satu daripada naluri manusia bila mana ada satu anggota tidak digerakkan, ia akan menjadi lemah.

Contohnya kalau selalu sangat tidur, bila bangun, lutut kita jadi tak kuat dan tak kuat nak jalan. Jadikan aktif itu satu acara, bukan saja gerakan badan malah akal fikiran. Baca tulis, bahas dan sebagainya, jadi tubuh akan lebih sihat.”

Dalam pemerhatian Tun, beza anak muda dulu dan zaman sekarang, fikiran dan matlamat?

“Kita sebenarnya terpengaruh dengan environment kita. Masa saya lahir, keadaan keliling masa itu miskin, peluang kerja tak banyak, orang asing tak banyak. Anak sekarang anggap bahawa keadaan keliling sama macam dulu. Apa mereka lihat adalah perkembangan semasa, dan mereka dipengaruhi keadaan itu. Dulu main congkak, sekarang tengok TV, ada telefon bumbit. Ini adalah persekitaran yang baru mempengaruhi fikiran kita. Umpamanya, terdedah kepada konsep kebebasan. Dulu tak wujud bab itu, memang zaman itu kita dikawal ibu bapa.

Zaman ini, kalau ibu bapa tak bagi motosikal, anak marah sebab kawan ada motosikal. Persekitaran mempengaruhi pemikiran anak muda. Jika rajin baca tentang zaman dulu, mereka akan tahu nilai apa bezanya. Sama ada ianya baik atau tidak.”

Jika Tun bukan VIP, teringin buat apa?

“Waktu jadi PM saya suka buat benda biasa. Saya masih pergi beli belah di pasar, suka minum kopi di tepi jalan, makan di gerai. Itu cara hidup saya dulu. Bila jadi TPM, ada pegawai ingatkan, saya tak boleh buat itu semua. Kalau nak, ada orang tolong belikan. Saya tolak, saya nak hidup macam orang biasa. Saya kenang dan suka cara dulu yang mana ada jiran, ada kawan, bermesra, itu yang saya utamakan.”

Mesej Tun kepada frontliners?

“Pertamanya, harus bersyukur. Walaupun sekarang hadapi penyakit yang dahsyat, tapi kita ingat ada yang teruk dari kita. Fikirkan Itali, ada 60 juta manusia terpaksa dikawal. India 1.4 bilion penduduk tak boleh keluar rumah. Kita kawalan gerakan saja, tapi masih boleh keluar jika ada hal penting. Setakat ini, frontliners kita begitu berdedikasi. Terdedah pada jangkitan tapi masih kerja. Syukur di Malaysia, negara kita amat selamat.

Malaysia dilindungi oleh alam sekitar. Angin puting beliung dari Lautan Hindi disekat Kepulauan Sumatera, tak sampai ke kita. Bila berlaku tsunami, dapat dielak kerana kena pada Acheh hingga ianya hancur. Sebelah timur, ada Filipina yang setahun sehingga 10 kali kena taufan, kita terselamat kerana dilindungi. Tidak ada gunung berapi, tiada gempa bumi. Itulah nikmat di Malaysia.

Ya ada masalah lain, tapi ia adalah buatan kita. Bukan dikenakan pada kita secara semula jadi. Rakyat kena bersyukur tidak timbulkan masalah bila tiada masalah. Kita tak suka huru-hara, kita selesai masalah secara baik sesama kita. Kena beri perhatian dan bersyukur.”

Mesej pada Lofa sendiri?

“Selama jadi PM, saya ingin lihat orang Melayu lebih keras bekerja untuk cari pendapatan tambahan. Masalah kita, jurang pendapatan antara kaum, ianya tidak sihat. Untuk atasinya, anda kena tingkatkan kebolehan dan pendapatan. Kita boleh buat kerana kita tak kurang dari segi apa, hanya minat saja. Kita terlalu bergantung kepada lain dan cari jalan mudah. Kalau kita usaha, boleh capai kejayaan yang sama seperti orang lain. Saya berhara perniagaan akan terus maju walaupun sedang hadapi masalah penyakit.”