Langkah Selamat Untuk Elak Serangan Siber Ketika Bercuti

Jangan biarkan diri anda menjadi mangsa.

Tidak sah kunjungan ke luar negara tanpa membawa komputer riba dan telefon pintar. Namun tahukah anda bahawa kesemua peranti yang dibawa berisiko terkena serangan siber?

Elakkan diri anda daripada menjadi mangsa dengan panduan berikut.

Mengunci Peranti

Pelancong sering menjadi sasaran penyeluk saku dan perompak yang menginginkan gajet. Untuk tujuan keselamatan, anda disarankan untuk gunakan kata laluan yang kuat atau pengimbas cap jari untuk telefon pintar dan sebarang alat elektronik yang dibawa. Gunakan kata laluan yang berlainan untuk peranti berbeza.

Amalkan Penggunaan Wifi Selamat

Wifi awam adalah sangat berbahaya. Bagi mengelakkan pemintasan data sensitif, anda dinasihatkan supaya tidak menyambung kepada mana-mana rangkaian wifi awam percuma. Sebaiknya, gunakan hotspot mudah alih yang ditawarkan pembekal perkhidmatan internet yang dipercayai. Selain itu, pastikan sambungan yang diguna adalah selamat dan sulit apabila anda berada dalam talian di lokasi awam atau membuat sebarang transaksi kewangan. Kenal pasti bar URL anda dan pastikan alamat bermula dengan https:// dan bukannya http:// bagi menjamin setiap urusan yang dilakukan di atas talian dilindungi dengan menggunakan penyulitan SSL.

Pastikan juga anda memutuskan sambungan wifi automatik pada kesemua peranti. Teknologi seperti DSL dan modem kabel membolehkan pengguna berada dalam talian sepanjang masa, tetapi ia juga membawa risiko. Penyerang atau virus dapat mengimbas rangkaian komputer yang tersedia dan kemungkinan untuk menyasar komputer anda akan menjadi lebih tinggi sekiranya talian komputer sentiasa bersambung.

Padamkan Fungsi Bluetooth

Matikan bluetooth jika tidak digunakan. Bluetooth yang sentiasa terpasang akan memudahkan penjenayah siber menyambung ke peranti anda dan mencuri data peribadi.

Jangan Mengecas Peranti Di Tempat Awam

Tahukah anda bahawa gajet berisiko digodam sekiranya ia dihubungkan kepada port yang tidak diketahui, seperti stesen pengecasan awam? Penjenayah boleh mengumpul maklumat peribadi anda semasa peranti dipasang ke saluran.

Sediakan Salinan Data Penting

Anda harus sentiasa beringat akan kebarangkalian kehilangan peranti. Salinan maklumat penting dan mempunyai pelan pemulihan adalah sangat penting. Anda disarankan untuk membuat salinan semua maklumat dan fail dalam sistem yang sama sekali berasingan seperti pemacu keras luaran yang tidak disambung ke internet. Hal ini dapat menyelamatkan anda daripada kehilangan data penting jika berlaku sebarang serangan siber.

Lengkapkan Dengan Anti-Virus

Pasang perisian anti-virus dan anti-malware pada peranti anda. Selain itu, pastikan juga ia dikemas kini dengan kerap supaya terlindung daripada ancaman bahaya.

Gunakan Pengesahan Dua Faktor

Kini kebanyakan aplikasi memerlukan dua atau lebih faktor sebagai pengesahan kepada identiti pengguna. Ia akan mengambil beberapa saat untuk menunggu kod keselamatan muncul pada telefon pintar dan kemudian anda perlu memasukkan kod itu. Mungkin tampak leceh, tetapi kaedah ini hakikatnya dapat menjamin keselamatan akaun dalam talian serta data peribadi anda.

Menyulitkan Fail

Kaedah penyulitan fail menjamin pelindungan tambahan daripada serangan pembuli siber. Dengan menyembunyikan data anda, orang lain tidak dapat melihatnya walaupun mereka mempunyai akses kepada peranti anda.

Sumber Gambar: Depositphotos