5 Taman Tema Menakjubkan Yang Anak Pasti Akan Suka

Tarikan berbeza dari yang lain.

Taman tema pertama yang pernah dibina adalah Disneyland pada tahun 1955 dan ia juga antara yang terkenal. Kini, terdapat banyak taman tema seperti Disneyland yang dibina di seluruh dunia.

Ada yang diinspirasikan daripada filem terkenal, kisah dogeng bahkan dinosaur. Jelita senaraikan lima taman tema menarik untuk anda bawa keluarga mengunjunginya.

Dunia Sihir Harry Potter

Bagi peminat Harry Potter, kini anda boleh merasai sendiri dunia sihir di taman tema bertemakan filem terkenal, Harry Potter ini. Anda boleh lihat sendiri lokasi ikonik filem tersebut antaranya Istana Hogwarts, Hogwarts Express, Gringotts Wizarding Banks, Diagon Alley dan banyak lagi. Ia dibina di empat lokasi, dua di Universal Orlando Resort, Universal Studios Japan dan Universal Studios Hollywood. Penulis, J.K Rowling turut menyumbangkan idea untuk membina taman tema ini.

Set Filem Hobbiton

Peminat buku Tolkien pasti akan gembira untuk melawat tempat ini. Dunia ajaib Hobbit ini direka untuk penggambaran The Lord of the Rings dan ia terletak di New Zealand. Pekan kecil ini dibina pada tahun 1999 apabila pengarah, Peter Jackson menaiki pesawat ke New Zealand dan ternampak sebuah tempat di tengah padang gurun yang sesuai untuk dijadikan lokasi filem terkenal itu. Selepas penggambaran selesai, kampung itu dibiarkan kosong dan sepertiga rumah hobbit dimusnahkan. Namun, pada tahun 2011, kampung ini telah dibaik pulih dan beberapa rumah Hobbit ditambah untuk dijadikan lokasi penggambaran filem The Hobbit. Selepas penggambaran selesai, ia dijadikan lokasi untuk pelancong.

Taman Tema Putera Kecil (Little Prince)

Di Perancis, anda boleh berkunjung ke sebuah taman khusus yang dibina untuk wira dari novel terkenal yang ditulis oleh Antoine de Saint-Exupéry. Di taman tema ini, landskap telah direka untuk menggambarkan pelbagai dunia dogeng yang terdapat dalam buku Saint-Exupéry. Pengunjung berpeluang untuk terbang dalam belon udara untuk melihat persekitaran taman tema yang indah ini dari atas. Taman tema ini juga adalah kediaman kepada rubah. Pengunjung dapat bermain dan memberi haiwan jinak ini makan. Antara tarikan menarik di sini ialah peluang untuk mengadakan perbualan interaktif dengan karakter Saint-Exupery yang dibuat menggunakan komputer serta permainan bertemakan penerbangan.

Legoland

Legoland adalah rangkaian taman tema keluarga yang bertemakan Lego. Ia dibina daripada bata Lego dan taman pertama dan terbesar dibuka pada tahun 1968 di Denmark. Terdapat lima Legoland lain di dunia iaitu Jerman, England, dan dua di Amerika Syarikat. Terdapat juga pembinaan semula bandar Las Vegas yang dibuat daripada 24 juta batu bata Lego! Taman Legoland dibahagikan kepada pelbagai bidang yang bertujuan untuk kanak-kanak usia tertentu.

Dinopark

Jika anda ingin mengajar anak mengenai dinosaur, taman teman ini adalah pilihan yang sesuai. Terletak di Munchehagen, Jerman, ia merupakan taman tema terbesar di Eropah. Terdapat lebih daripada 220 model dinosaur yang dibina menyerupai saiz sebenar. Kesemua dinosaur ini tidak kelihatan seperti satu model tetapi menyerupai haiwan sebenar.

Sumber Gambar: Depositphotos dan Facebook Taman Tema The Little Prince