5 Mitos Ketika Melancong Di New Zealand

Semua tanggapan ini tidak benar sama sekali.

Jika anda sedang merancang percutian ke New Zealand namun masih bimbang mengenai beberapa perkara yang sering dikaitkan dengan negara tersebut, jangan risau kerana Tourism New Zealand telah merungkai beberapa mitos.

Sukar untuk bergerak ke sesuatu tempat

Ramai yang beranggap dengan kepelbagaian landskap di New Zealand, sukar untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Namun hakikatnya, negara itu mempunyai sistem pengangkutan awam terutamanya di bandar besar seperti Auckland dan Wellington. Anda boleh gunakan kad prabayar seperti AT HOP dan Snapper yang boleh dibeli melalui dalam talian, di kedai serbaguna dan terminal.

Kad ini boleh digunakan untuk menaiki kenderaan awam daripada kereta api ke feri. Tidak perlu risau tentang masa kerana kekerapan pengangkutan awam di New Zealand adalah setiap 10 minit dan lebih murah menggunakan kad daripada wang tunai.

Cara lain yang boleh digunakan adalah dengan menaiki kereta api TransAlpine. Pengangkutan antara bandar ini menjanjikan perjalanan dengan pemandangan yang menarik di hemisfera selatan.

Aktiviti ekstrem adalah segalanya tentang New Zealand

New Zealand bukan hanya terkenal dengan pelbagai aktiviti mencabar, anda juga boleh berehat dan memanjakan diri dengan berendam dalam kolam air panas semula jadi di Tekapo Springs yang terletak di Pulau Selatan sambil menikmati taburan bintang di salah satu langit malam yang paling cerah di dunia.

Anda juga boleh melawat Kilang Coklat Wellington dan melihat proses pembuatan coklat daripada kacang ke bar di sebalik cermin kaca. Anda juga boleh menempah sesi lawatan untuk menghayati proses tersebut sambil mencuba hampir setiap coklat yang dihasilkan.

Cuaca sejuk yang melampau

Terletak di hemisfera selatan, New Zealand mempunyai iklim yang berbeza daripada negara lain iaitu musim panas menjelang akhir tahun dan musim sejuk pada pertengahan tahun.

Meskipun bahagian utara mempunyai iklim subtropika semasa musim panas, suhu di kawasan pedalaman alpine pula boleh mencecah sehingga negatif 10 darjah celsius (14 darjah Fahrenheit) pada musim sejuk. Tetapi sebahagian besar daratan negara ini terletak berhampiran dengan laut yang mempunyai suhu sederhana.

Purata suhu di New Zealand semakin menurun apabila menuju ke bahagian selatan. Januari dan Februari adalah bulan yang paling panas, manakala Julai adalah bulan paling sejuk. Anda disarankan untuk membawa baju sejuk atau memakai beberapa lapisan pakaian semasa musim luruh dan musim sejuk. Pada musim bunga dan musim panas pula, kebanyakan penduduk tempatan gemar menikmati sinaran matahari dengan melakukan aktiviti luar seperti berkayak sambil melihat ikan lumba-lumba dan anjing laut di Kaikoura atau menghirup udara segar di Central Park, Wellington.

Pilihan makanan yang terhad

Terkenal dengan keindahan alam semula jadi, New Zealand menawarkan seleksi makanan laut terbaik. Daripada udang kara ke tiram, restoran makanan laut sangat mudah didapati di sini. Antara yang popular adalah Nin’s Bin di Kaikoura. Popular dengan konsep gerai di tepi pantai, restoran ini menyajikan lebih daripada 5.5 tan udang kara setiap tahun.

Jangan ketinggalan mencuba masakan tradisional Maori seperti Hangi, di mana makanan seperti ikan, ayam dan sayuran dimasak di dalam lubang yang digali di tanah. Untuk mencuba makanan tersebut dan mengenali budaya mereka, anda boleh menempah khidmat pemandu pelancong dengan Whakarewarewa the Living Maori Village beserta makan tengah hari tradisional Hangi dan menonton pertunjukan budaya Maori.

Jarak perjalanan yang jauh

Dua pulau utama di New Zealand terletak di wilayah barat daya Lautan Pasifik. Walaupun negara itu terletak di kedudukan paling selatan dunia, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Auckland menaiki Malaysia Airlines hanya mengambil masa lebih kurang 10 jam. Sekiranya anda ingin menerokai kedua-dua pulau tersebut, anda perlu menaiki penerbangan dari Christchurch di Pulau Selatan ke bandar utama yang terletak di Wellington dan Auckland di Pulau Utara. Ia cuma mengambil masa satu jam setengah.