Jangan Panik, Ini Fakta Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Virus Influenza

Tambahkan pengetahuan mengenai virus influenza!

Mempunyai gejala yang sama dengan selesema biasa, namun influenza ini berbeza kerana ia boleh mengakibatkan kematian jika simptomnya tidak dirawat lebih awal. Virus ini turut menjadi perbincangan hangat media massa sejak kes jangkitan dikatakan semakin meningkat. Namun begitu, jangan terlalu obses dan cepat panik.

Jika tahu caranya, virus ini dapat dicegah dan tidak perlu sampai berkurung di dalam rumah kerana takut berjangkit. Jelita kongsikan beberapa fakta untuk mempersiapkan anda.

Apakah Influenza?

Influenza adalah penyakit yang disebabkan oleh virus influenza yang menjangkiti salur pernafasan. Ia boleh menyebabkan gejala jangkitan yang ringan mahupun serius. Ia juga boleh mengancam nyawa pesakit yang berjangkit dalam keadaan tertentu.

Bagi negara yang beriklim sederhana, kejadian wabak kerap kali berlaku semasa musim sejuk manakala bagi negara tropika di sepanjang garisan Khatulistiwa (termasuk Malaysia), wabak ini berlaku sepanjang tahun tanpa mengikut musim tertentu.

Virus influenza tidak kekal lama di satu persekitaran. Menurut kajian yang dijalankan, virus ini hanya boleh kekal antara lima minit hingga dua jam sahaja. Bagi virus yang tidak mempunyai perumah tetap (manusia), ia akan mati di persekitaran.

Virus ini juga boleh melekat di peralatan rumah atau pejabat yang mempunyai sentuhan terus dari pesakit yang positif influenza namun begitu, anda tidak perlu terlalu obses untuk menyembur semua peralatan rumah. Cukup memadai persekitaran sentiasa bersih.

Cara Penularan Influenza

Influenza merebak dari seorang individu yang dijangkiti kepada seorang individu yang lain melalui titisan salur pernafasan apabila bercakap, batuk atau bersin. Titisan ini boleh mencemari permukaan dan menyebabkan jangkitan kepada individu yang menyentuh permukaan tersebut.

Baca juga: Virus Influenza Berbahaya, Ini 6 Gejala Yang Anda Perlu Tahu

Empat Langkah Sudah Cukup Untuk Mencegah Penyakit Influenza

Jaga etika batuk. Tutup mulut ketika batuk atau bersin sama ada menggunakan tisu, sapu tangan dan tapak tangan. Jangan sebarkan wap batuk atau bersin itu kepada orang sekeliling kerana selain daripada mengelakkan penyebaran virus kepada orang lain, ia juga kelihatan sopan untuk tutup mulut ketika batuk.

Pakai penutup mulut dan hidung dengan topeng muka. Pastikan tidak keterlaluan dalam pemakaian mask sehinggakan masuk bilik mandi pun masih memakai mask. Bagi anda yang tidak mengalami gejala influenza, tidak diharuskan memakai mask. Hanya kes atau individu tertentu yang berisiko seperti anggota kesihatan, pesakit kurang daya imun badan atau berada di kawasan padat yang amat disarankan memakai topeng muka ini.

Kerap mencuci tangan. Kaedah ini amat penting supaya anda sentiasa menjaga kebersihan. Tangan adalah anggota yang paling aktif dalam kehidupan. Berjuta kuman berada di tangan tanpa anda sedari. Virus influenza dari orang yang positif menghidapinya boleh merebak kepada orang lain melalui pernafasan dan sentuhan.

Pencegahan yang paling berkesan setakat ini adalah vaksin. Jangan panik untuk mendapatkan vaksin kerana keutamaan akan diberikan kepada:-

  • Kanak-kanak umur bawah lima tahun dan orang berumur lebih 65 tahun.
  • Orang dewasa yang berisiko seperti penghidap penyakit kronik, kencing manis, lelah dan seumpamanya. Berbincanglah dengan doktor, adakah anda perlu mengambil vaksin ini atau sebaliknya.
  • Petugas kesihatan atau penjawat yang berdepan dengan orang ramai seperti polis, imigresen, pegawai khidmat pelanggan dan sebagainya.
  • Individu yang merancang ke luar negara yang tinggi kejadian influenza.
  • Bakal haji atau umrah.
  • Ibu hamil.
  • Berlebihan berat badan.

Baca Juga: 4 Langkah Mencegah Virus Influenza Daripada Menjangkiti Anda

Mitos Rawatan Virus Influenza

Vitamin C bukanlah pengganti kepada vaksin. Walaupun vitamin C ada fungsi untuk menjaga integriti sel tubuh dan mengandungi antioksidan, ia tetap bukan antivirus atau gantian vaksin yang boleh mencegah influenza secara spesifik.

Terdapat juga petua mitos yang mengatakan bahawa dengan menaburkan bawang merah di sekeliling rumah dapat membantu mencegah influenza. Ini tidak benar kerana bawang merah bukan anti virus.

Sumber: Facebook Suhazeli. Abdullah dan infosihat.gov.my
Gambar: Depositphotos