Inspirasi Rias Thai Untuk Malam Berinai Emma Maembong

Jurumekap profesional, Fiqqi Abdullah sudahkan dalam sejam 15 minit sahaja.

Cantik bak ratu!

Emma Maembong, aktres popular yang baru bergelar isteri kepada Muhammad Shazli Azhar sejak 20 Februari lalu dirias menawan hasil sentuhan Fiqqi Abdullah, jurumekap profesional yang mula mendapat perhatian selebriti.

Sebaik sahaja memuat naik gambar solekan buat Emma untuk majlis berinai malam ini, rata-rata memberi komen positif, menyukai kelainan rias yang diberikan.

Fiqqi yang sememangnya rapat dengan team Jelita dan beberapa kali diajak menyempurnakan ruangan fesyen dan kecantikan majalah ini tak lokek berkongsi kisah di sebalik hasil kerjanya.

INSPIRASI SOLEKAN

“Inspirasi adalah daripada solekan jurumekap Thailand yang gemar menggunakan rona jingga dan keemasan pada kanvas wajah,” katanya dalam temu bual bersama editor Jelita.


“Lagipun, perhiasan untuk rambut dan perincian busana berlatarkan perak keemasan. Daripada memilih rona perak, warna emas lebih klasik dan tampak mewah.”

MUDAHKAH MERIAS EMMA?

“Mudah! Kerana Emma cukup percaya pada jurumekap juga pakar dandanan. Dia okey sahaja dengan cadangan kami. Tambahan, Emma mempunyai kulit yang bersih, tidak banyak masalah untuk merias. Saya hanya perlukan masa sejam 15 minit untuk siapkan solekan untuk malam berinainya,” kata Fiqqi.

PERBINCANGAN DENGAN PEREKA

Busana malam berinai yang tampak klasik, mewah nan menawan itu hasil rekaan Rizman Ruzaini.

Adakah Fiqqi melakukan perbincangan awal dengan pereka juga pakar dandanan, Amy Nadia?

“Emma ada kongsikan apa yang Rizman cadangkan malam sebelum majlis. Lalu saya memberitahu Amy yang rias serta dandanan perlu kelihatan clean dan klasik,” jelasnya yang pernah menyolek Emma dua kali sebelum ini.

TIP PILIH MUA UNTUK HARI BAHAGIA

Sempat bertanya Fiqqi tip berkenaan, lantas dia berkongsi:

  1. Pengalaman MUA. Penting untuk anda lihat portfolio MUA berkenaan, kalau dia jenis versatil, lebih bagus. Sebagai contoh, mungkin wajah anda tak dapat “bawa” rias Inggeris tapi MUA boleh olahkan solekan yang sesuai buat anda dan dia takkan tangkap muat sahaja.
  2. Kenali MUA anda. Kena tahu kemampuan MUA anda. Elak buat tempahan sebab harganya murah atau sedang ada promo. Nanti sampainya hari bahagia, anda yang jadi tak berapa bahagia kerana look impian tak kesampaian…
  3. Kenali diri anda. Jangan upah MUA yang pernah siapkan selebriti dan anda mahu dan berharap dapat merubah diri anda menjadi selebriti berkenaan. Wajah dan bentuk muka setiap manusia berbeza-beza. Kurangkan jangkaan maka, kuranglah kekecewaan.