Inilah Percutian Keluarga Jenis Mak Ayah Tak Pening Kepala

Cuti dengan tenang di syurga Bali ini.

Bila bercuti, jadi tugas ibu ayah fikirkan aktiviti untuk keluarga.

Tetapi di Club Med Bali, program Amazing Family tawarkan kegembiraan dan kepuasan tidak terkata.

Bayangkan percutian yang anda sudah bayar lebih awal, dan ia lengkap dengan itinerari sesuai untuk seluruh ahli keluarga dalam satu kawasan? Bukan itu sahaja, anda tidak ‘dipaksa’ untuk melakukan kesemuanya, tetapi pilihan untuk mencuba sesuatu yang baru setiap hari sudah tersedia.

Baru-baru ini, Jelita telah diajak untuk mengalami sendiri keseronokan program Amazing Family di Club Med Bali di Indonesia, lokasi pertama yang memperkenalkan konsep ini sebelum Cherating, Pahang dan Bintan, Indonesia. Percutian empat hari tiga malam padat dengan pilihan aktiviti sama ada anda hendak melakukan sendirian atau dengan suami atau bersama anak.

Kebiasaannya, bila pergi bercuti, anda dan suamilah kena fikirkan aktiviti untuk isi masa lapang anak supaya mereka tidak mengalih tumpuan pada gajet selain perlu mengatur dan melaksanakannya. Di sini, anda hanya perlu muncul pada waktu yang ditetapkan, ada GO atau Gentil Organisateur yang akan mengajar, menghibur dan menemani anda.

MUDAHNYA DENGAN APP

Sewaktu daftar masuk, anda akan diperkenalkan kepada aplikasi MyClubMed di mana anda boleh akses jadual harian aktiviti di Club Med berkenaan. Lihat, pilih dan atur yang mana anda rasa ingin lakukan hanya daripada kamar tidur sahaja.

Bagi anak yang gemarkan kraftangan, boleh sertai aktiviti Amazing Family jam 10 pagi setiap hari di Main Bar. Anda akan diajar hasil seni berbeza setiap hari bersama dengan tetamu lain. Bukan sahaja anda dan anak belajar skil baru, malah boleh mengasah kemampuan bersosial dengan pelancong dari negara luar.

Selain itu, ada kelas masakan oleh chef tempatan. Ada hari ia adalah demonstrasi, ada hari anda boleh cuba sekali dengan tunjuk ajar chef.

Kalau sukakan aktiviti lebih mencabar, sertai permainan bertenaga tinggi seperti Slip & Slide, Soccer Bumper mahupun Kite Competition. Bayangkan gelak tawa bila masing-masing menjadi kompetitif walaupun semua yang sertai adalah pemenang.

BURU ILMU SEKITAR CLUB MED

Ini adalah kegemaran Jelita! Dengan menggunakan app Club Med Play, anda dan anak boleh sertai pemburuan harta karun di sekitar resort cantik ini. Setelah mengimbas kod QR di tempat tersorok, anda akan dihidang dengan pengetahuan mengenai lokasi berkenaan seperti sejarah Barong dan Rangda sebelum bermain permainan maya yang mendebarkan.

Belajar mengenai patung yang terletak di pintu masuk Club Med Bali, simbolik pohon besar di sekitar kawasan ini juga mengenali haiwan yang dibiar hidup bebas di sini.

Sedar tak sedar, anda sudah mengelilingi seluruh resort sambil mengutip bahan baru untuk minda anda juga anak yang tak mungkin anda sendiri akan baca.

HANYA UNTUK ANAK ANDA

Katakanlah ada waktu, mereka mahu melakukan aktviti sendiri tanpa anda, boleh saja! Ada pelbagai program kanak-kanak disediakan mengikut kelompok umur. Abang dan kakak GO yang akan menemani sepanjang hari, selain itu anak berpeluang untuk berinteraksi dengan rakan sebaya yang baharu.

*Baby Club Med untuk empat ke 23 bulan.

*Petit Club Med untuk anak dua ke tiga tahun.

*Mini Club Med untuk anak empat ke 10 tahun.

*Passworld untuk anak 11 ke 17 tahun.

UNTUK IBU AYAH PULA?

Bila anak sudah ‘berjauhan’, anda bolehlah menenangkan fikiran di Zen Pool. Ianya memang khusus untuk dewasa sahaja. Ibu boleh menempah sesi urut di Mandara Spa yang terletak di dalam resort ini sementara bapa bermain golf.

MAKAN DI CLUB MED

Di sini, pakej dibayar termasuk harga makan dan percayalah, anda tidak akan sempat kelaparan. Daripada sarapan, ke snek di bar tepi pantai ke makan tengahari, kemudian snek lagi di tepi kolam renang sebelum makan malam, pilihan makanan adalah pelbagai dan berubah setiap hari.

Saksikan video sekitar percutian sekeluarga Editor Jelita, Anida Salwani: