#COVID19: Ini Langkah-Langkah Kerajaan Untuk Bantu Ringankan Beban Rakyat

Berhenti merungut, belajar untuk bersyukur!

Jelita percaya, kerajaan di bawah pimpinan PM terbaru, Tan Sri Muhyiddin mencuba yang terbaik bagi membantu menghapuskan penularan covid-19. Malah beberapa bantuan juga telah diusulkan untuk meringankan beban rakyat. Sekarang ini, cuma tinggal untuk anda patuh arahan saja dan belajar bersyukur!

1. Semalam PM mengumumkan rakyat Malaysia boleh mula mengeluarkan wang caruman KWSP sehingga RM500 selama 12 bulan. Pencarum KWSP boleh membuat pendaftaran menerusi e-mel atau pos bermula 1 April 2020, menerusi kemudahan i-Lestari. Manakala untuk pendaftaran secara dalam talian, anda boleh melakukannya bermula 1 Mei.

Syarat-syarat mendaftar adalah mempunyai akaun caruman dan berumur bawah 55 tahun. Butiran terperinci bagaimana untuk mendaftar akan dimaklumkan pada 31 Mac ini.

2. Kementerian Kesihatan berjaya memperoleh stok bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) sebanyak 33 juta unit. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan stok itu, ia sekali gus dapat menampung penggunaan di semua fasiliti kesihatan.

Kekurangan stok PPE menjadi isu global dan pihak KKM sentiasa memberi keutamaan kepada aspek keselamatan anggota kesihatan.

3. Bantuan makanan kepada lebih 74 ribu pelajar yang menjalani RMO jauh dari keluarga serta menginap di kolej kediaman akan ditanggung oleh kerajaan sehingga 31 Mac. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bantuan itu meliputi seluruh kategori pengajian di Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM12 juta.

4. Antara berita paling memberikan kelegaan buat anda semua! Topeng muka akan diagihkan secara PERCUMA dalam masa terdekat! Kerajaan telah mengimport topeng muka dari China dengan anggaran lebih 10 juta keping.

Jelita berharap dengan maklumat terkini ini, anda boleh kongsikan kepada yang lain dan berhenti menyebarkan info tidak tepat. Di saat genting seperti ini, rasanya lebih baik membaca dan mendengar daripada membuat kesimpulan terlalu awal.

Ikut arahan pihak berkuasa dan hanya keluar rumah untuk perkara penting sahaja. Ingat, kita sendiri perlu jadi contoh terbaik kerana segala tindakan anda adalah refleksi kepada diri sendiri. #StayAtHome

Sumber: BH Online
Foto: depositphotos.com