5 Tanda Kediaman Anda Diserang Pepijat

Jangan biarkan ia mengganggu kehidupan anda!

Semua orang inginkan kediaman yang bersih dan bebas daripada serangga seperti pepijat. Walaupun pepijat tidak menyebabkan sebarang penyakit berjangkit, ia masih boleh menimbulkan beberapa masalah kesihatan antaranya ruam atau alergi. Selain itu, ia juga boleh mengganggu anda sewaktu tidur.

Berikut adalah lima tanda kediaman anda mungkin ‘diserang’ oleh serangga ini.

Tanda Merah Yang Gatal

Sekiranya anda mengalami kerengsaan kulit di bahagian muka, lengan, kaki, dada atau belakang, ia adalah salah satu tanda kehadiran pepijat di rumah. Itu adalah tanda gigitan yang akan menjadi gatal dan boleh menyebabkan pendarahan serta jangkitan jika anda menggarunya.

Untuk memastikan bahawa itu adalah gigitan pepijat, lihat pada corak gigitan. Tanda itu sering berlaku dalam kluster, baris lurus dan garisan zig-zag. Namun begitu, sesetengah orang mungkin tidak mempunyai reaksi fizikal apabila digigit pepijat jadi individu ini tidak mempunyai bintik merah atau mengalami kegatalan.

Darah Dan Kotoran Berkarat

Periksa bintik merah di tempat tidur atau pakaian. Sekiranya anda terlenyek pepijat, ia akan meninggalkan kesan darah. Anda juga akan menjumpai bintik seperti karat. Itu adalah najis yang ditinggalkan pepijat. Periksa juga dinding dan bawah kertas dinding kerana pepijat boleh meninggalkan najis di situ.

Bau Busuk

Pepijat mempunyai kelenjar bau yang melepaskan pheromone dan dalam jumlah yang banyak, ia boleh menghasilkan bau yang sangat kuat dan tidak menyenangkan. Oleh itu, jika bilik anda berbau seperti pakaian lembap atau makanan yang sudah rosak, mula periksa bilik anda.

Cengkerang Pepijat

Pepijat boleh bersalin kulit apabila membesar. Jadi, cuba cari cengkerang berwarna terang dalam bentuk serangga. Periksa bantal, lapisan tilam, kerusi, sofa dan kusyen. Jangan lupa untuk periksa laci dan pakaian.

Tanda Putih Pada Perabot

Jika anda ada melihat bintik putih di atas perabot, kemungkinan itu adalah telur pepjiat atau cengkerang telur pepijat. Ia berbentuk seperti biji beras dan mempunyai warna lut sinar atau putih dan kadang kala ia berkilat.

Mungkin sukar untuk anda melihatnya dengan mata kasar tetapi anda boleh periksa menggunakan lampu suluh dan kanta pembesar kerana telur ini sering diletakkan di sendi dan lipit tilam serta perabot.

Sumber Gambar: Depositphotos