Suami Meninggal Dunia, Siapa Berhak Dapat Harta?

Pembahagian perlu dilakukan secara adil.

Masih ramai yang kurang mempunyai ilmu mengenai pembahagian harta selepas kematian salah seorang ahli keluarga. Hal ini kadangkala boleh menyebabkan salah faham yang tidak sepatutnya berlaku.

Ini antara fakta mengenai pembahagian harta yang betul apabila suami meninggal dunia.

Apa itu Faraid?

Faraid ialah satu ilmu berkaitan dengan sistem pembahagian harta pusaka bagi orang Islam. Ia mengandungi hukum pewarisan, formula pembahagian dan kaedah pengiraan yang akan menentukan siapakah dalam kalangan keluarga yang ditinggalkan oleh si mati berhak mewarisi harta pusaka dan menentukan kadar bahagian yang akan diwarisi oleh setiap waris.

Jika suami meninggal dunia dan meninggalkan ibu, seorang isteri, anak lelaki, anak perempuan dan adik-beradik seibu sebapa, maka mengikut hukum faraid, adik beradik tersebut TIDAK BOLEH mewarisi harta peninggalan arwah kerana terdinding oleh anak lelaki.

Tetapi sekiranya suami meninggal dunia dan meninggalkan ibu bapa serta adik-beradik (tidak mempunyai anak), maka bahagian ibu adalah satu per enam dan selebihnya akan menjadi bahagian adik-beradik lelaki.

Pembahagian Faraid

Ilmu faraid menjelaskan pula bahagian yang akan diwarisi oleh setiap waris berdasarkan formula yang telah ditetapkan. Sekiranya si mati hanya meninggalkan anak lelaki sahaja maka anak lelai itu akan mewaris kesemua harta pusaka bapanya.

Namun jika terdapat waris fardhu yang lain seperti ibu, bapa, suami atau isteri, anak lelaki akan mendapat baki setelah diberikan bahagian waris fardhu. Ini dibahagikan dengan ibu mendapat 1/6 bahagian dan isteri mendapat 1/8 bahagian.

Sekiranya si mati meninggalkan anak perempuan bersama anak lelaki, mereka bersama mewarisi secara Asabah Bil-Ghairi iaitu anak lelaki mendapat dua bahagian manakala anak perempuan mendapat satu bahagian.

Hukum Faraid Dalam Pembahagian Harta Pusaka

Setiap umat Islam wajib mengikut hukum faraid dalam pembahagian harta pusaka. Namun mereka boleh memilih cara pembahagian setelah mengadakan perbincangan atau bersetuju dengan rela hati tanpa dipaksa atau dipengaruhi oleh pihak lain. Untuk menentukan siapakah dalam kalangan waris yang berhak mewarisi harta pusaka haruslah mengikut kaedah yang digariskan oleh hukum faraid.

Sekiranya waris yang berhak tidak diberikan haknya atau penentuan bahagian waris tidak diberikan mengikut kadar yang ditetapkan, bermakna pembahagian harta itu tidak mengikut hukum faraid dan hukumnya haram dan berdosa.

Jika masih ada pertanyaan mengenai faraid atau pembahagian harta yang betul, pergilah berjumpa dengan peguam atau ustaz untuk mendapatkan penerangan lanjut. Jangan biarkan keluarga berpecah belah kerana harta.

Sumber: Majalah Pa&Ma, Jom Urus Duit dan Cakna Pusaka
Sumber Gambar: Depositphotos