Tak Bersemangat Untuk Ke Pejabat? Ini Petanda Anda Perlu Tukar Kerjaya

Jangan biarkan ia berlarutan.

Anda bosan dengan tugasan setiap hari dan rasa malas untuk ke tempat kerja? Ini tandanya anda perlu menukar kerjaya. Jika dibiarkan, mungkin prestasi kerja akan merosot dan ini akan menyusahkan orang lain.

Ini beberapa petanda lain yang menunjukkan anda perlu menukar kerjaya secepat yang mungkin.

Tiada minat dengan tugasan yang diberi

Jika dahulu, impian anda adalah untuk diberi kepercayaan mengendalikan sesebuah projek tetapi kini apabila anda dipertanggungjawab untuk mengetuai projek baru, anda tidak lagi berasa teruja. Malah, hanya berfikir mengenai apa yang akan dilakukan sudah cukup membuat anda berasa ‘loya’ dan tidak sanggup untuk  meneruskannya. Ini kerana  minat anda sudah hilang pada kerja yang dilakukan. Tidak kiralah sama ada anda kekal di tempat kerja sedia ada atau berpindah ke organisasi lain, sekiranya skop kerja anda tetap sama; anda akan alami perasaan yang sama.

Tidak merasa cabaran dalam kerja yang dilakukan

Sekiranya anda dapati kerja yang dilakukan sekarang sebagai rutin yang tidak lagi menawarkan sebarang cabaran, sudah tiba masanya anda tukar angin. Ini kerana skop kerja yang dilakukan tidak kira di mana juga anda bekerja akan kekal sama dan terus membuat anda merasa hilangnya cabaran. Sekiranya diteruskan, anda akan mula berasa bosan yang menjurus kepada hilangnya minat untuk bekerja dan seterusnya tidak merasakan sebarang kepuasan.

Tiada kepuasan 

Bermula dengan hilangnya minat dan cabaran bekerja, seterusnya anda mungkin berasa tertekan setiap kali tibanya Isnin. Tetapi anda tiada masalah dengan rakan sekerja atau majikan malah sangat senang dengan budaya kerja di organisasi sedia ada. Ini mungkin kerana anda sudah mula rasa tiada kepuasan kerana hilangnya minat. Sekiranya anda teruskan juga, akan tiba suatu masa di mana anda akan kemurungan dan akhirnya tidak mustahil akan mengalami melt down sehingga langsung tidak berupaya melakukan sebarang kerja yang diberikan kepada anda. Kesemua simptom ini mungkin bersangkut paut di antara satu sama lain atau ia boleh wujud dengan sendirinya. Setiap individu pastinya akan melalui pengalaman berbeza.

Adakah masa hadapan untuk anda?

Cuba letakkan diri anda lima tahun ke hadapan dan cuba bayangkan diri anda melakukan kerja yang sama. Apakah yang anda nampak? Sekiranya anda sedang melalui waktu sukar di tempat kerja dan mengalami simptom di atas kerana situasi sukar ini tetapi anda tahu ia hanyalah sementara dan anda akan berjaya kelak, teruskan apa yang anda lakukan.

Namun, sekiranya anda tidak lagi berupaya melihat diri anda melakukan kerja sama di masa hadapan; sudah tiba waktunya untuk anda memikirkan tentang pertukaran kerjaya.

Sumber Gambar: Depositphotos