7 Perkara Perlu Dibuat Di Pejabat Sebelum Cuti Panjang

Jangan biarkan percutian anda diganggu.

Apabila tiba masa untuk cuti panjang, sudah tentu ia adalah perkara yang paling menggembirakan. Bercuti bukan sahaja dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan kemurungan tetapi juga dapat meningkatkan produktiviti dan menurukan tahan tekanan.

Namun, anda juga boleh menjadi tertekan atau stress ketika bercuti jika anda tidak mengambil langkah ini.

Buat Senarai Semak

Ia akan memudahkan anda untuk melihat tugasan yang perlu diselesaikan sebelum bercuti. Buat senarai berbeza untuk perkara yang berbeza, contohnya, “Perkara Harus Dilakukan Sebelum Bercuti”, “Senarai Semak Perancangan Percutian” dan “Perkara Yang Dilakukan Apabila Pulang Daripada Bercuti.” Senarai yang dibuat dapat meringankan tekanan. Pastikan anda menyemak semula agar tidak ketinggalan dan mengganggu fikiran anda sewaktu bercuti nanti.

Beritahu Rakan Sekerja

Maklumkan kepada rakan sekerja bahawa anda akan bercuti dan berikan tarikh kepada mereka. Selain itu, tetapkan juga sempadan yang jelas kepada semua orang mengenai penglibatan semasa percutian: Adakah anda akan menyemak kerja setiap hari? Adakah anda boleh didapati 24 jam? Atau adakah anda akan mematikan telefon sepanjang percutian? Ingatkan rakan sekerja tentang peraturan anda agar kalian boleh mendapatkan kata putus tentang kerja yang perlu diselesaikan.

 Kenal Pasti “Rakan Ganti Percutian”

Rakan bercuti sandaran adalah rakan sekerja yang anda pilih untuk menggantikan anda semasa bercuti. Pastikan mereka tahu anda telah memilih mereka dan mereka juga bersetuju untuk menggantikan anda. Adakan mesyuarat peribadi dengan rakan ganti dan beritahu mereka tugasan yang perlu dilakukan. Jangan lupa maklumkan bos mengenai perkara itu. Tidak lupa juga untuk bawa pulang hadiah istimewa untuk rakan ganti anda.

Tetapkan E-mel Dan Pesanan Suara

Salah satu perkara yang paling biasa anda lupa sebelum pergi bercuti adalah menetapkan e-mel dan mesej pesanan suara untuk memberitahu ketiadaan anda di pejabat. Ia mungkin tidak kelihatan seperti masalah besar, tetapi sangat penting untuk memastikan klien tidak tercari-cari keberadaan anda. Tetapkan mesej di luar pejabat untuk memberitahu semua orang bahawa anda akan pergi bercuti, berapa lama anda akan bercuti dan siapa yang perlu dihubungi jika anda tiada.

Hubungi Klien Penting

Sebelum pergi bercuti, pastikan anda menghubungi klien penting dan beritahu mereka mengenainya. Ini akan memberikan mereka masa yang cukup untuk menyelesaikan perkara penting dengan anda. Tindakan ini juga menunjukkan bahawa anda peduli dengan mereka dan membantu untuk mengeratkan lagi hubungan anda bersama mereka.

Tinggalkan Senarai Kata Laluan Yang Penting

Pastikan anda tinggalkan senarai kata laluan agar memudahkan rakan sekerja untuk mencari maklumat atau dokumen penting dan tidak akan mengganggu anda sewaktu bercuti. Anda boleh tukar kata laluan sebaik pulang daripada bercuti.

Bersihkan Meja Kerja Anda

Jangan biarkan diri anda tertekan melihat meja kerja yang berselerak sebaik sahaja pulang dari bercuti. Ambil masa 20 minit pada hari terakhir bekerja untuk mengemaskan, buang sampah dan pastikan tiada makanan yang boleh membusuk ketika anda pergi bercuti.

Sumber Gambar: Depositphotos