“6 Sebab Mengapa Saya Kekalkan Skor Kredit Yang Sihat Untuk Keluarga”

Uruskan kewangan dengan bijak untuk jaminan masa hadapan.

Dua lebih baik daripada satu. Kenyataan ini benar dari segi kedudukan kewangan bersama pasangan anda. Selepas berkahwin, saya berpeluang meningkat kesihatan kewangan saya melalui suami. Ini kerana, dengan pendapatan tunggal saya, saya mungkin hanya mampu membeli rumah atau kereta yang lebih murah, tetapi apabila digabungkan dengan pendapatan pasangan, pilihan kami menjadi lebih luas.

Namun, ini hanya boleh berlaku jika kesihatan kredit saya dan suami adalah baik.

Jika saya mempunyai penarafan kredit yang buruk, ia mungkin tidak mempengaruhi kesihatan kredit pasangan saya atau ibu bapa juga adik-beradik saya.

Walau bagaimanapun, laporan kredit yang buruk akan menghalang saya mendapat akses kepada perkhidmatan dan produk kewangan apabila keluarga saya paling memerlukannya. Sebab itulah saya berusaha sedaya upaya untuk memastikan kesihatan kredit saya sentiasa baik.

Berikut adalah beberapa cara bagaimana skor kredit yang lemah boleh mempengaruhi keluarga saya secara langsung dan tidak langsung:

Tidak mampu memperoleh pinjaman pendidikan untuk anak 

Pada zaman ini, pendidikan mungkin melibatkan perbelanjaan yang tinggi. Menurut kajian HSBC Bank, ibu bapa Malaysia membelanjakan jumlah purata sebanyak RM102,790[1] (US$24,862) untuk pendidikan seorang anak dari peringkat sekolah rendah hingga ke tahap sarjana muda di universiti. Kajian ini juga menunjukkan bahawa lebih 50% daripada ibu bapa Malaysia mengambil pinjaman untuk membiayai pendidikan universiti bagi anak mereka.

Jika saya dan suami saya mempunyai skor kredit yang lemah, kami tidak mampu mengambil pinjaman peribadi atau membiayai semula harta kami untuk membantu membayar yuran menara gading anak kami pada masa hadapan. Sekatan kewangan bermakna anak kami mungkin terpaksa melepaskan sekolah atau universiti di mana beliau menerima tawaran belajar.

Tidak mampu mendapat rawatan terbaik sekiranya berlaku kecemasan perubatan

Ramai orang mendapati mereka tidak mempunyai perlindungan insurans perubatan yang mencukupi, atau lebih teruk, tidak mempunyai apa-apa perlindungan! Pada waktu tersebut, wang tunai amatlah penting sebab kebanyakan insurans perubatan yang paling asas tidak meliputi kos tersembunyi seperti penggantian pendapatan untuk penjaga, rawatan alternatif, pengangkutan, ubat tambahan dan suplemen ataupun kos yang terlibat dalam pemulihan seperti rehabilitasi atau fisioterapi.

Apabila berhadapan dengan kecemasan perubatan seperti ini, amatlah sukar mendapat pinjaman peribadi ataupun saluran kredit kecemasan jika anda mempunyai penarafan kredit yang lemah.

Tidak mampu memiliki kereta atau rumah

Membeli barangan perbelanjaan besar seperti kereta atau rumah lazimnya memerlukan kita menandatangani kontrak jangka panjang dengan institusi kewangan. Jika anda ingin membeli kereta untuk keperluan pengangkutan keluarga anda, ini melibatkan pinjaman sewa beli yang meliputi sehingga 90% daripada kos kereta anda.

Jika anda masih bersusah-payah mendapat pinjaman untuk membeli kereta, memperoleh pinjaman rumah untuk keluarga anda adalah lebih sukar. Pekerja yang bergaji tetap pun menghadapi kesukaran untuk membeli rumah, apa lagi anda yang mempunyai penarafan kredit yang buruk?

Jika anda diluluskan untuk mendapat pinjaman rumah meskipun dengan skor kredit yang lemah, kadar faedahnya mungkin lebih tinggi. Kadar faedah yang lebih tinggi bermakna anda membayar ansuran bulanan yang lebih tinggi, justeru menyebabkan anda terjebak dalam perangkap hutang yang lebih besar.

Tidak dapat memaksimumkan pelaburan hartanah

Jika anda dan pasangan merupakan pelabur hartanah yang bijak, memang logik untuk anda berdua memiliki skor kredit yang kukuh. Di Malaysia, setiap individu boleh memperoleh pinjaman sehingga 90% ke atas dua hartanah kediaman pertama. Ini bermakna anda hanya perlu membayar wang tunai sebanyak 10% untuk bayaran pendahuluan.

Jika anda dan pasangan mempunyai skor kredit yang baik, anda boleh membeli sehingga empat hartanah dengan pinjaman rumah sebanyak maksimum 90% setiap harta. Jumlah pinjaman yang lebih besar bermakna wang tunai pendahuluan yang lebih rendah – semestinya impian bagi setiap pelabur.

Apabila pinjaman bersama mungkin tidak boleh dilakukan

Senario di atas amat sesuai untuk pasangan berpendapatan tinggi yang berminat mengembangkan portfolio pelaburan mereka melalui hartanah kediaman. Tetapi, bukan semua orang jatuh dalam kategori tersebut.

Mereka yang mempunyai pendapatan skala pertengahan mungkin tidak mampu memperoleh pinjaman yang diperlukan untuk membeli rumah impian mereka. Ini disebabkan kelayakan bagi pinjaman rumah dikira berdasarkan nisbah khidmat hutang – iaitu peratusan pendapatan anda yang digunakan untuk membayar pinjaman. Peratusan yang disyorkan ialah tidak melebihi 60% daripada pendapatan anda.

Dalam keadaan ini, mendapat pinjaman bersama pasangan anda akan meningkatkan nisbah khidmat hutang sebab anda akan memohon pinjaman dengan pendapatan bergabung. Walau bagaimanapun, ini hanya boleh berlaku jika anda berdua mempunyai skor kredit yang kukuh untuk memperoleh pinjaman.

Tidak boleh menjadi penjamin

Menjadi seorang penjamin adalah tanggungjawab besar dan tidak boleh dipandang ringan. Namun demikian, anda mungkin perlu menjadi penjamin dalam kes-kes tertentu. Sebagai contoh, jika anak anda yang berumur di bawah 21 tahun ingin mendapat pinjaman kereta, dia akan memerlukan seorang penjamin.

Anak anda yang memohon pinjaman pelajar mungkin memerlukan anda menandatangani bersama perjanjian tersebut. Jika anda mempunyai skor kredit yang lemah, ia akan menjejaskan peluang anak anda untuk mendapat pinjaman.

Walau apapun keadaannya, mengekalkan skor kredit yang sihat adalah keputusan yang bijak. Cara terbaik untuk berbuat demikian adalah dengan memastikan anda sentiasa melakukan pembayaran tepat pada masanya di samping mempunyai campuran pinjaman dan kad kredit yang baik.

Ingatlah cara terbaik untuk memantau semua kemudahan kredit dan rekod pembayaran balik pinjaman anda, sama ada ia tanggungjawab anda secara langsung atau tidak langsung, adalah melalui penyemakan skor kredit anda.

[1] Berdasarkan kadar pertukaran RM1 = US$0.24, pada 7 Februari 2020.

Sumber Gambar: Depositphotos