#COVID19: Penangguhan Bayaran Pinjaman Bank Buat Rakyat Lega

Jangan lupa bayar bila keadaan pulih.

Kebimbangan anda mengenai bayaran pinjaman bank di saat negara dalam tempoh kuarantin akhirnya terjawab selepas Bank Negara Malaysia tampil dengan penyelesaian terbaik.

Mulai 1 April, menerusi sistem moratorium automatik, peminjam kewangan bank diberikan pelepasan komitmen bayaran selama enam bulan. Sistem ini termasuk semua jenis pinjaman seperti perumahan dan kereta kecuali kredit kad.

Syarat-syarat sistem moratorium automatik:

i) Pinjaman mestilah tiada tunggakan selama tiga bulan ataupun 90 hari dari tarikh 1 April 2020.

ii) Pinjaman mestilah dalam mata wang Ringgit Malaysia.

Sementara itu, hutang kad kredit tidak termasuk dalam penangguhan ini tetapi bagi pemegang kad kredit yang tiada rekod tunggakan bayaran, BNM menawarkan pelan pembayaran secara berperingkat selama tiga tahun. Menurut kenyataan rasmi BNM, bagi hutang kad kredit yang tertunggak, hutang akan ditukarkan secara automatik kepada pinjaman berjadual.

Bagi peminjam yang merasakan masih mampu membayar seperti biasa dan tidak mahu menangguh, anda hanya perlu memaklumkan kepada pihak bank. Untuk anda yang telah menetapkan potongan pinjaman secara auto debit, ia juga secara automatik ditangguhkan, namun jika mendapati ada penolakan seperti biasa, anda perlu memaklumkan kepada bank.

Bagaimanapun perlu diingatkan, setiap pinjaman mempunyai bayaran faedah dan ia tetap berjalan seperti biasa. Penangguhan ini sedikit sebanyak meringankan beban kita tetapi dalam masa yang sama anda perlu ingat tempoh perjanjian bayaran anda kini dianjakkan kepada enam bulan. Contohnya jika perjanjian bayaran ialah 108 bulan, kini ia menjadi 114 bulan.

Manakala untuk anda yang menyewa rumah, anda boleh berunding dengan tuan rumah kerana dia mungkin mahu melakukan penangguhan bayaran. Ia adalah atas budi bicara kerana kebanyakan kita sedang mencatu perbelanjaan.