#Covid19: Ini Apa Yang Berlaku Selepas Dua Minggu Perintah Kawalan Pergerakan

Tempoh dua minggu akan datang adalah penting.

Sudah dua minggu rakyat Malaysia menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sebagai usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Sepanjang tempoh PKP tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memaklumkan bahawa terdapat 58 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada 31 Mac 2020. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah sebanyak 537 kes bersamaan 19.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga 31 Mac 2020, jam 12 tengah hari, terdapat 140 kes baharu yang telah dilaporkan dan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,766 kes.

Daripada jumlah kes tersebut, sebanyak 94 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Namun, semalam turut mencatatkan enam lagi kematian sekali gus menjadikan jumlah kematian 43 kes.

Evaluasi Situasi Selepas Dua Minggu Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Dijalankan

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, setelah dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan didapati jumlah kes harian terus  meningkat dan kadangkala mendatar. Jumlah kes harian yang didiscaj dari wad meningkat saban hari.

Daripada data ini dapat dilihat kesan daripada aktiviti yang dijalankan oleh KKM dan pelbagai agensi dalam tempoh satu bulan kebelakangan ini.

Tambah KKM lagi, dua minggu berikutnya adalah amat penting kerana ia akan menentukan sama ada tindakan yang diambil oleh kerajaan setakat ini akan memberi impak seperti yang diharapkan. Ini berkait rapat dengan tingkah laku masyarakat dalam mematuhi PKP ini.

Statistik yang dikongsikan KKM turut menunjukkan terdapat dua kumpulan yang mencatat kes paling tinggi berbanding kumpulan umur yang lain. Dua kumpulan tersebut adalah dalam lingkungan 26 sehingga 30 tahun dan juga 56 sehingga 60 tahun.

Nasihat Kesihatan

Kini PKP sudah masuk fasa kedua mula berkuatkuasa bermula hari ini sehingga 14 April 2020 manakala beberapa kawasan telah diisytiharkan sebagai lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan. Dalam tempoh ini, KKM menyeru kerjasama semua pihak untuk memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.

Justeru, anda digalakkan untuk kekal di dalam rumah sambil mengamalkan etika kebersihan diri seperti kerap basuh tangan dan jarakkan diri antara satu sama lain. Sekiranya anda punya gejala, gunakan penutup hidung dan mulut.

Selain itu, KKM juga turut menasihatkan orang ramai untuk amalkan perkara berikut:

  • Makan secara sihat dengan menyediakan menu sihat dan seimbang. Kurangkan pengambilan gula, garam dan lemak, manakala lebihkan pengambilan buah-buahan dan sayuran.
  • Jalani gaya hidup yang sihat dan aktif dengan melakukan senaman ringan.
  • Bagi anda yang suka merokok, disarankan gunakan peluang ini untuk berhenti merokok. Bukan perokok boleh menasihati ahli keluarga yang merokok agar semua bebas daripada bahaya rokok dan asap rokok.
  • Pupuk minda yang positif  diri sendiri dan juga keluarga. Amalkan teknik relaksasi yang betul dan tenangkan minda dalam menjalani kehidupan seharian.

Jika anda perlukan khidmat nasihat, hubungi virtual health advisory dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari dan mengikuti sesi Facebook live KKM dari 10.00 pagi hingga 10.30 pagi dan Facebook live DoctorOnCall dari 3.00 petang hingga 3.30 petang yang akan diadakan dari hari Isnin sehingga Jumaat.

Orang awam juga boleh menghubungi talian CPRC Kebangsaan, KKM. Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sumber Gambar: Depositphotos