#Covid19: Detik Kehidupan Rider Food Panda kala #PKP

Terus permudah urusan di musim #DudukRumah.

Di saat kita sedang selesa duduk di rumah, namun barisan hadapan (frontliner) tidak pernah berputus asa dalam memerangi virus yang membunuh ribuan nyawa di seluruh dunia.

Malah, ramai daripada mereka terpaksa meninggalkan orang yang tersayang di rumah dan mengorbankan masa untuk terus berkhidmat untuk negara.

Seperti yang dilalui Muhammad Mohamad Safiruddin, 22, yang berasal dari Kuala Lumpur. Lelaki yang berusia setengah jagung ini gigih mencari rezeki dengan menjadi rider foodpanda tanpa memikirkan kesan jangkitan virus tersebut. Perkhidmatannya hampir 2 tahun.

Menerusi temu bual di aplikasi WhatsApp, Muhammad berkongi pengalaman dan cabarannya menjadi penghantar makanan foodpanda kala Perintah Kawalan Pergerakan (#PKP).

Menurut Muhammad, perkara yang paling mencabar sepanjang #PKP ini adalah pertukaran waktu operasi, yang mana dia hanya diberikan masa selama 12 jam sahaja untuk menghantar kesemua pesanan kepada pelanggan.

“Saya berharap agar semua pelanggan dapat bersabar atas setiap permintaan yang dibuat dan saya dan rakan-rakan yang lain berusaha sedaya upaya untuk menghantar makanan mereka tepat pada waktunya,” kata Muhammad.

Apabila ditanya mengenai keyakinan diri untuk terus bersemangat sepanjang menjadi rider ketika ini, dia sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk berkhidmat kepada negara, lebih-lebih lagi dengan keadaan yang agak mencabar ini. Ianya bukan sahaja tidak dapat meluangkan masa bersama keluarga, malah terpaksa mengambil risiko terhadap kesihatan diri.

Namun, dengan usaha yang tidak seberapa ini, Muhammad tetap rasa bangga terhadap diri sendiri kerana ianya dianggap sebagai satu penghormatan buat dia, malah sering mendapat pujian daripada pelanggan.

Mungkin ada di kalangan anda tidak berani untuk menempah pesanan daripada mana-mana kedai yang membuat perkhidmatan penghantaran, bukan? Anda bimbang jika diri dan keluarga dijangkiti Covid-19. Tetapi, anda tidak perlulah risau kerana syarikat berkenaan memastikan pekerjanya mengambil beberapa langkah yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggan terjamin apabila menggunakan perkhidmatan mereka.

Menurut Muhammad, foodpanda sentiasa  menyediakan sanitizer tangan dan topeng muka kepada semua rider. Dia dan rakan-rakannya yang lain diarahkan untuk mencuci tangan setiap dua jam dan selepas setiap kali mereka mengendalikan penghantaran.

Syarikat foodpanda juga sentiasa memaklumkan isu terkini kepada Muhammad dan rakan-rakan rider yang lain, malah sentiasa mengingatkan kepada mereka supaya menjaga kebersihan diri dengan mencuci tangan sekerap yang mungkin.

Bukan itu sahaja, bagi memastikan keselamatan diri sentiasa terjamin, syarikat foodpanda juga turut menyediakan surat kebenaran kepada mana-mana rider mereka bagi membolehkan mereka menghantar makanan tanpa perlu berdepan dengan sekatan daripada pihak berkuasa. Sumbangan perubatan juga turut disediakan jikalau mereka dikuarantin atau disahkan positif Covid-19.

Tanpa kita sedari, kumpulan rider foodpanda ini bukan sahaja menghantar pesanan kepada pelanggannya, malah mereka sentiasa menghulurkan bantuan makanan secara percuma kepada mangsa yang terjejas dengan #PKP.

Muhammad dan sekumpulan rider Setapak membuat tabung dana sendiri bagi membantu golongan gelandangan dan juga keluarga yang tidak mempunyai wang ringgit. Perkara sebegini wajar dipuji kerana ia merupakan  amalan yang sangat mulia.

Walau bagaimanapun, Muhammad berharap agar rakyat Malaysia sentiasa patuh akan arahan yang diberikan oleh pihak kerajaan. Biar mereka sahaja yang memenuhi segala kemahuan anda, janji anda terus duduk di rumah.

Bak kata Muhammad, “Kami datang kerja untuk kamu, kamu tolong duduk di rumah untuk kami!”

Baca juga: Kisah frontliner: Ngeri bila pesakit tak berterus-terang latar belakang.