#Covid19: Apa Anda Kena Tahu Sebelum Ke Hospital?

Bantu frontliners permudahkan tugasan mereka!

Jika anda rasa ada petanda yang bunyinya seakan simptom Covid-19, bertenang dan cuba kuiz di bawah terlebih dulu.

Imej: Freepik.com

Elakkan berpusu-pusu ke pusat kesihatan atau hospital kerana jika tersilap keputusan, anda boleh terdedah kepada virus berkenaan.

Keadaan ini telah menyebabkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kekurangan kakitangan untuk membantu anda membuat rawatan tersebut kerana mereka lebih utamakan pesakit yang disahkan positif Covid-19.

Jadi, untuk mengelakkan diri anda daripada tidak sengaja mendedahkan diri kepada jangkitan Covid-19 di hospital, Dr Wan Ahmad Zhafran, Pakar Bahagian Tulang dari Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang berkongsikan cara untuk anda periksa dahulu simptom Covid-19 dalam bahasa yang mudah dan senang untuk difahami.

Berikut merupakan langkah-langkah tersebut.

  1. Kenal pasti berdasarkan tiga soalan berikut.

Anda ada simptom selesema?

(Demam melebihi 37.5, sesak nafas, batuk dan sakit tekak)

  • kalau ya untuk semua, 1 mata
  • kalau ada salah satu sahaja, ia TIDAK DIKIRA

Anda ada pergi ke mana-mana negara atau kawasan yang ada kes Covid-19 dalam masa 14 hari ini?

  • Sebagai contoh: China, Korea Selatan, Jepun, Itali, Iran
  • Sertai perhimpunan Tabligh di Sri Petaling, Church di Sarawak, atau anda dengar melalui berita, bas yang anda naiki semasa perjalanan ke kampung ada pesakit positif Covid.
  • Jika anda berjalan pada bulan lepas, dua bulan lepas atau tahun lepas, ia TAK DIKIRA
  • Tetapi, jika YA, 1 mata.

Anda ada kontak rapat dengan sesiapa yang anda tahu positif Covid-19?

  • Kontak rapat bermaksud sentuhan, bersalaman, berlaga pipi, bersua muka, makan bersama dalam satu talam, duduk serumah, kerja dalam satu pejabat yang buat kerja bersama dan sebagainya.
  • Kontak yang TIDAK DIKIRA: Melalui telefon dan Whatsapp, berjalan di pasar raya dan orang sebelah anda batuk. Ditambah pula dengan anda yang tidak sepatutnya keluar ke mana-mana dalam tempoh larangan pergerakan ini.
  • Jadi, kalau anda ada kontak rapat seperti di atas dengan yang positif Covid-19, 1 mata.

 

  1. Keputusan mata Covid-19

             0 mata

Anda berisiko rendah dijangkiti Covid-19. Jadi, anda dinasihatkan untuk duduk diam-diam di rumah. Jangan ingat anda berisiko rendah, anda bebas keluar pula ya.

            1 mata

Anda berisiko sederhana dijangkiti Covid-19. Oleh itu, anda perlu duduk diam-diam di rumah dan teruskan memantau simptom. Jika anda mendapati ia semakin teruk setelah lima hingga tujuh hari, maka segeralah ke hospital untuk rawatan susulan.

            2 dan 3 mata

Anda berisiko tinggi untuk dapat jangkitan Covid-19. Anda patut keluar rumah sekarang dan pergi buat pemeriksaan dengan kadar segera di fasiliti KKM. Pesakit dalam golongan yang ini pihak hospital akan membuat ujian saringan (swab).

Justeru, dengan perkongsian yang diberikan ini, Jelita harap anda buatlah pemeriksaan ini terlebih dahulu sebelum keluar rumah dan hanya pergi ke fasiliti KKM bila perlu.

Ianya bukan sahaja untuk mengelakkan diri anda daripada dijangkiti Covid-19 secara tidak sengaja, malah membantu pihak KKM dalam melancarkan urusan pengesanan kes di hospital.

Patuhi arahan yang diberikan. Sama-samalah kita banteras penularan wabak ini daripada terus melarat dengan lebih teruk lagi!