#Covid1-9: PKP Dilanjutkan Sehingga 12 Mei Ini

Rakyat Malaysia mungkin tidak dapat raikan Hari Raya di kampung.

Semalam, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan lagi untuk dua minggu.

Fasa keempat PKP ini dijangka akan berakhir pada 12 Mei ini. Perdana Menteri turut menjelaskan dengan tempoh yang telah dilanjutkan, kerajaan akan menilai data terkini yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan untuk menentukan langkah seterusnya.

Tambahnya lagi, dia tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini dan ini bermakna rakyat Malaysia mungkin tidak boleh menyambut hari raya di kampung.

Jelasnya lagi, jika kes jangkitan Covid-19 terut mencatatkan penurunan yang ketara, kerajaan mungkin akan melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk sektor sosial. Hal ini membolehkan rakyat Malaysia untuk menjalani kehidupan yang lebih selesa.

Dia juga turut memberitahu bahawa Majlis Keselamatan Negara sedang merangka satu pelan menyeluruh mengenai perkara tersebut.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa dia telah mengarahkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang menyeluruh.

Buat masa ini, tumpuan diberikan untuk mengenal pasti langkah dan inisiatif yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan sederhana serta mendorong keyakinan rakyat Malaysia dan pelabur untuk menjana semula ekonomi negara.

Menurutnya, antara inisiatif yang sedang dirangka adalah membina keupayaan dan kemahiran rakyat, menggalakkan perbelanjaan domestik, meningkatkan daya tahan industri termasuk PKS, dan memupuk persekitaran pelaburan yang lebih positif untuk masa hadapan.

Sumber Gambar: Twitter