Tiada Pilihan Lain, Putera Harry Dan Meghan Markle Tidak Lagi Menggunakan Gelaran Diraja

Mereka juga perlu membayar semula wang tiga juta dolar.

Perjanjian telah dibuat, Ratu Elizabeth II telah memuktamadkan perjanjian untuk ‘kebebasan’ Putera Harry dan Meghan Markle di mana pasangan itu tidak akan lagi menggunakan gelaran Diraja, His dan Her Royal Highness, tidak akan menerima dana awam untuk tugas yang mereka lakukan bagi pihak Diraja England bahkan perlu membayar balik wang sejumlah tiga juta dolar yang digunakan untuk mengubah suai kediaman mereka di United Kingdom.

Pasangan itu telah mengejutkan dunia apabila membuat pengumuman minggu lalu, berikutan percutian panjang di Kanada berama anak mereka, Archie Harrison, bahawa mereka telah memutuskan untuk mengundur diri sebagai anggota ‘senior’ keluargaD Diraja. Menurut pasangan itu lagi, mereka mahu mengimbangkan masa antara United Kingdom dan Amerika Utara.

Beberapa hari kemudian, nenda Harry yang juga Ratu negara tersebut telah memanggilnya untuk mesyuarat keluarga. Setelah melakukan perbincangan beberapa hari, Ratu telah mengumumkan dalam kenyataan bahawa mereka telah menemui cara membina dan sesuai untuk menyokong cucu dan keluarganya.

Baca juga: Putera Harry Dan Meghan Markle Umum Akan Berundur Daripada Tugasan Diraja

Bagaimanapun, Harry akan terus bergelar seorang putera dan pasangan itu akan dikenali sebagai Duke dan Duchess of Sussex, gelaran yang diberikan kepada pasangan itu oleh Ratu semasa majlis perkahwinan mereka.

Dalam kenyataannya, Ratu Elizabeth II menulis, Harry, Meghan dan Archie akan sentiasa menjadi ahli keluarga yang disayangi oleh keluarga Diraja. Dia faham akan cabaran yang mereka hadapi akibat pengawasan ketat selama dua tahun lalu dan dia menyokong kehendak mereka untuk menjalani kehidupan bebas.

Dia turut memuji Meghan Markle yang tabah menghadapi kerenah tabloid United Kingdom selama beberapa tahun lalu dan menyokong keputusan mereka untuk hidup berdikari.

Tiada Pilihan Lain-Putera Harry

Putera Harry, Duke of Sussex telah menyatakan kesedihan dalam satu ucapannya yang pertama sejak Buckingham Palace mengumumkan dia dan isterinya, Meghan akan melepaskan gelaran Diraja dan tidak lagi mewakili Ratu sebagai ahli keluarga Diraja.

“United Kingdom adalah rumah saya dan tempat yang saya sayangi,” kata Harry dalam ucapan pada  acara amal di London. “Itu tidak akan berubah.”

Tambahnya lagi, keputusan yang dibuat untuk dia dan isterinya bukanlah mudah. Ia dilakukan selepas perbincangan beberapa bulan selepas bertahun menghadapi cabaran. Putera Harry akui, keputusan yang dibuat mungkin bukan sentiasa betul tetapi dia akui tidak punya pilihan lain.

“Harapan kami adalah untuk terus berkhidmat kepada Ratu, komuniti dan persatuan tentera tetapi tanpa pembiayaan awam. Malangnya, itu tidak mungkin.”- Putera Harry

Menurutnya lagi, dia telah menerima semua ini dan ini tidak akan mengubah siapa dirinya dan bagaimana dia komited dengan tugasannya. Dia berharap orang ramai akan faham apa yang telah berlaku, dia mengundurkan diri dari keluarga Diraja untuk menjalani kehidupan yang lebih aman. Tambahnya lagi, dia dilahirkan dalam kehidupan ini dan ia adalah satu penghormatan besar untuk berkhidmat kepada negara dan Ratu.

Putera Harry turut mengucapkan rasa terima kasih kepada Ratu Elizabeth II kerana menjaganya selepas kematian ibunya, Puteri Diana yang meninggal dunia pada Ogos 1997 selepas kereta yang dinaikinya kemalangan ketika sedang dikejar oleh paparazi.

“Nenda telah menjaga saya sejak sekian lama tetapi media adalah rintangan yang sangat kuat dan harapan saya adalah satu hari nanti sokongan kolektif kita untuk satu sama lain boleh menjadi lebih kuat kerana ini lebih besar daripada kita semua. Saya akan sentiasa menghormati nenek saya, ketua komander saya dan saya amat berterima kasih kepadanya dan seluruh keluarga saya atas sokongan yang telah mereka tunjukkan kepada saya dan Meghan sejak beberapa bulan lalu.”- Putera Harry

Ramai yang masih menantikan kehidupan yang akan dijalani oleh Putera Harry dan Meghan Markle selepas tidak lagi bergelar kerabat Diraja United Kingdom.

Sumber Gambar: Instagram Sussexroyal