Tiada Persefahaman, Intan Najuwa Putus Tunang

Tidak mahu bekas tunang terus terpalit dengan kontroversi.

Teka-teki mengenai status hubungan pelakon cantik, Intan Najuwa dengan seorang ahli perniagaan akhirnya terjawab apabila dia mengakui ikatan pertunangan mereka sudah berakhir.

Menurut laporan daripada mStar, Intan Najuwa menganggap tiada jodoh antara mereka dan keputusan itu dibuat selepas perbincangan daripada kedua belah pihak. Tambah Intan lagi, tujuan dia berkongsi berita itu adalah kerana tidak mahu bekas tunangnya itu terpalit dengan kontroversi dalam industri seni.

“Hubungan saya dan dia (Razrul) sudah berakhir dan keputusan dibuat selepas kami berbincang dengan cara baik. Antara kami sudah tiada jodoh dan persefahaman. Bila berpisah itu, biarlah kami sahaja yang tahu. Saya berkongsi perkara ini pun sebab tak nak lagi dia terkait dengan saya memandangkan dia pun bukan daripada bidang ini. Saya juga tak mahu dia terlibat kalau ada apa yang terjadi atau kontroversi berkaitan dengan diri saya. Biarlah dia jalani hidup tanpa sebarang gangguan.”- Intan Najuwa, mStar.

Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa Intan dan Razrul sudah putus tunang selepas Intan menyekat akaun Instagram dan memadam gambar mereka. Namun, tunang Intan telah menafikan dakwaan tersebut.

Intan dan Razrul mengikat tali pertunangan pada 18 Ogos tahun lalu di Hotel Thistle, Johor Baharu sempena ulang tahun kelahiran aktres itu yang ke-22.

Sumber Gambar: Instagram