Selepas 7 Tahun Berkenalan, Farah Nabilah Kini Sah Isteri Juruterbang

Lihat juga gambar sekitar majlis akad nikah Farah Nabilah.

Pelakon, Farah Nabilah telah selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Mohammed Amirul Yunus, seorang juruterbang dalam satu majlis akad nikah yang diadakan pada Jumaat, 20 Disember pada jam 9.04 malam.

Pasangan berkenaan  dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Saipuddin Ahmad, bersaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Daerah Petaling, Mastori Marsidi dalam majlis yang berlangsung di Royale Chulan Damansara. Farah, 27, telah menerima mas kahwin RM1,000 dan wang hantaran bernilai RM77,777.77.

Dia juga turut menerima tujuh dulang hantaran berbalas jumlah yang sama. Pasangan mempelai itu kongsikan rasa syukur kerana majlis berjalan lancar dan Farah sah bergelar isteri kepada Amirul dengan hanya sekali lafaz.

Berkenalan dalam tempoh yang agak panjang, bagi pasangan itu, penantian selama tujuh tahun adalah untuk memastikan yang mereka benar-benar bersedia untuk melangkah ke fasa yang seterusnya iaitu perkahwinan.

Ditanya soal bulan madu, pasangan mempelai ingin menunggu sehingga hujung tahun ini kerana masing-masing perlu kembali bekerja namun memilih untuk berkunjung ke Pulau Pinang kerana teringin untuk mencuba makanan yang ada di sana.

Apabila ditanya mengenai perancangan anak, Farah akui dia dan suami tidak membuat sebarang perancangan dan hanya akan berserah kepada takdir dan rezeki mereka.

Menurut Farah lagi, dia akan tetap meneruskan kerjaya lakonan kerana itu adalah minatnya namun bezanya kali ini, dia akan memilih watak yang sesuai dengan imejnya sebagai isteri dan turut meminta pendapat dan izin suami untuk melakonkan watak yang diterimanya.

Jelita ucapkan tahniah kepada Farah Nabilah dan suami. Jom lihat gambar sekitar majlis pernikahan pasangan ini.

1 of 28
1 of 28