Selepas 8 Tahun, Neelofa Akhirnya Undur Diri Dari Meletop

Neelofa menangis saat mengumumkan berita mengejut itu

Pelakon, pengacara dan usahawan, Neelofa telah mengumumkan akan mengundurkan diri daripada program hiburan, Meletop selepas lapan tahun mengendalikan program tersebut. #ThankYouLofa menjadi tular setelah pengumuman itu.

Neelofa mengambil keputusan itu kerana mahu fokus pada perancangan yang lain. Pengumuman itu dibuat secara langsung menerusi program Meletop yang disiarkan semalam.

Dalam pengumumannya itu, Neelofa akui, kerjaya seninya membesar bersama rancangan tersebut dan telah mendidiknya sehingga sekarang. Bagi Neelofa, rancangan itu sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Ia sekali gus menjawab spekulasi selepas dia dikhabarkan bakal menarik diri selepas lapan tahun bersama rancangan itu. Bahkan, Neelofa dan pengacara bersama, Nabil Ahmad pernah menarik diri daripada dicalonkan dalam penganjuran Anugerah Meletop yang diadakan pada Mac tahun ini.

Episod terakhir Neelofa mengacarakan program tersebut adalah pada 31 Disember depan.

Meletop mula disiarkan pada 30 Oktober 2012 dan sudah bersiaran sebanyak 370 episod.