Sangeeta Retnakumar Rangkul Lima Pingat Emas Di Bangkok

Tahniah, adik Sangeeta Retnakumar!

Puteri luncur ais Malaysia, Sangeeta Retnakumar, berjaya merangkul lima pingat emas dalam pertandingan akhir yang telah diadakan di Bangkok, Thailand.

Gadis cilik berusia 12 tahun itu bersaing dalam Siri Kejuaraan Akhir Asia Ice Skating Institute (ISI) dan memenangi tempat pertama di acara Freestyle 4, Solo Comp F4, Footwork F4, Open FS Silver, dan Drama Sport FS4.

Pelajar tahun enam dari SK Pusat Bandar Puchong 2 ini mewakili Akademi Ais Sunway Pyramid dalam pertandingan lima hari itu. Pertandingan ini terbuka kepada para peserta dengan lebih daripada 60 mata terkumpul dan layak untuk peluncur ais berusia enam hingga 12 tahun. Sangeeta bersaing dengan 128 peserta dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Bercita-cita untuk menjadi Atlet Sukan Olimpik Musim Sejuk, Sangeeta mengatakan dia mendedikasikan kemenangannya itu kepada neneknya. Raja Hipery Muthu yang telah meninggal dunia bulan lalu. Menurutnya, neneknya itu adalah berkat terbesarnya.

Walaupun masih muda, Sangeeta bangun sebelum fajar untuk latihan empat kali seminggu. Orang tuanya memainkan peranan penting dalam memupuk Sangeeta sebagai pemain luncur ais bertaraf dunia. Menurut ibunya, ayah Sangeeta akan membawanya ke pusat latihan seawal empat pagi dan turut menjadi contoh kepada adik-beradiknya yang berusia tiga dan sembilan tahun.

Sangeeta memulakan latihan ketika berusia tujuh tahun dan telah memenangi banyak pingat dalam tempoh empat tahun yang lalu. Impian Sangeeta adalah untuk bersaing dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk pada masa akan datang. Ibu bapanya akan sentiasa berada di belakang setiap langkahnya walaupun sukan luncur ais ini adalah antara sukan yang paling mahal.

Sumber Gambar: Facebook Sangeeta Retnakumar