Puteri Balqis Tidak Mengalah Walau Ditimpa Ujian Berat

'Ujian itu indah,"- Puteri Balqis.

Nama Puteri Balqis adalah antara pelakon kanak-kanak yang popular satu ketika dahulu. Pernah membintangi beberapa drama dan filem terkenal di samping nama-nama besar dalam industri hiburan, Puteri Balqis turut memenangi beberapa anugerah sepanjang kariernya.

Namun dua tahun lalu, pelakon cilik itu disahkan menghidap masalah jantung dan berita ini didedahkan sendiri oleh ibunya, Norashikin Azizi yang memberitahu keadaan kesihatan gadis itu mula merosot selepas menjalani beberapa siri rawatan pada Disember 2017.

Ujian itu Indah

Siapa sahaja yang tidak terkejut saat melihat gadis yang sebelum ini cukup popular dalam dunia hiburan kini hidup dalam kesusahan. Puteri Balqis yang juga pemenang Pelakon Wanita Terbaik (Drama) pada Anugerah Skrin 2014 mengakui pernah tidak makan tiga hari bersama ibunya, Norashikin Mohd Aziz.

Kisah hidup pelakon muda itu dikongsikan olehnya pada program Bersamamu yang ditayangkan di TV3, pada Isnin lalu. Walaupun diuji dengan ujian seberat itu, Balqis masih lagi kelihatan tabah.

“Kami pernah susah dan senang. Perubahan secara tiba-tiba itu indah sebenarnya. Tuhan tidak mahu kami lupa diri.

Kami pernah terputus makan dalam dua ke tiga hari. Tapi, tak pernah sampai seminggu. Masih dapat makan walaupun sedikit untuk kami isi perut. Kalau terputus, kami ikat perut. Kami kena berjalan juga jual buku. Apabila sudah cukup dan dapat jual buku, dapatlah kami buat makan,”-Puteri Balqis.

Untuk menyara hidup, Puteri Balqis yang membintangi drama Akulah Balqis telah menjual buku ’38 Poems Of Puteri Balqis’ hasil tulisannya sendiri di sekitar Masjid Jamek, Masjid India, Pasar Seni atau Jalan Petaling di Ibu Negara.

Menurutnya, dia akan rasa hampa jika jualan buku tidak banyak tetapi itu tidak menjadi masalah buatnya kerana bagi Balqis ujian yang dihadapinya itu adalah indah.

Pernah Dihalau Dari Rumah Sewa

Dalam program tersebut turut menceritakan kedua ibu bapa Puteri Balqis sudah bercerai sejak empat tahun lalu dan dia memilih untuk tinggal bersama ibunya dan melalui kehidupan susah senang bersama.

Ibunya mengakui tidak berhubung dengan sesiapa sejak dari itu dan lebih senang jika berdua dan menghadapi cabaran bersama.

Kehidupan dua beranak itu mula terhimpit apabila kesihatan Balqis mula terganggu pada tahun 2018. Dan dua beranak itu pernah dihalau dari rumah sewa lama kerana tidak mampu membayar sewa bulanan sebelum berpindah ke rumah sewa sekarang di Shah Alam.

Ibunya terpaksa berjimat cermat dengan memanaskan lauk. Jika ada duit lebih, ibunya akan memasak lebih satu lauk dengan banyak dan menyimpannya dalam peti sejuk. Mereka juga akan mencatu lauk dengan membungkus mengikut hari bagi memudahkan dibawa jika keluar berniaga.

Puteri Balqis dan ibunya akan berulang alik dari rumah mereka di Setia Alam, Selangor ke beberapa lokasi di ibu negara untuk menjual buku puisi yang dihasilkan.

Dapat Bantuan

Kisah kehidupan Puteri Balqis telah mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor dan keluarganya telah didaftarkan sebagai asnaf miskin daerah Petaling dan Lembaga Zakat Selangor akan menyalurkan bantuan kecemasan selain mereka juga diberi bantuan kewangan bulanan bermula Januari termasuk menyelesaikan bil utiliti yang tertunggak sebagai permulaan.

Menurut Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid, pihak Lembaga Zakat Selangor turut mempertimbangkan bantuan perubatan bagi membolehkan pelakon berkenaan meneruskan rawatan yang dihidapinya selepas mendapatkan pengesahan perubatan daripada hospital.

Selain itu, mereka turut mengadakan perbincangan bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan untuk mencari jalan agar mereka boleh mendapatkan wang bagi menyara kehidupan harian.

Sumber Gambar: Instagram Puteri Balqis