Pelakon Kacak Taiwan, Godfrey Gao Meninggal Dunia Secara Mengejut

Dia rebah ketika sedang menjalankan penggambaran

Pelakon Taiwan kelahiran Kanada, Godfrey Gao dilaporkan sudah meninggal dunia selepas dia tidak sedarkan diri sewaktu penggambaran program siri realiti China. Berita itu disahkan oleh agensinya, JetStar Entertainment melalui media sosial, Weibo. Pelakon kacak itu berusia 35 tahun.

Menurut JetStar, Godfrey telah dikejarkan ke hospital, di mana dia kemudiannya dilaporkan meninggal dunia selepas tiga jam.

Menurut laporan media tempatan China, dia telah menjalani penggambaran Chase Me, sebuah rancangan siri realiti lewat malam oleh Zhejiang Television yang memfokuskan pada tugasan fizikal untuk pesertanya.

Dia dilaporkan rebah tidak sedarkan diri pada jam dua pagi pada hari Rabu pagi ketika penggambaran sudah separuh dijalankan. Selebriti lain yang terlibat dalam set penggambaran tersebut adalah pelakon Hong Kong William Chan dan ahli kumpulan Fahrenheit member Calvin Chen.

Dalam satu gambar yang tular di laman sesawang, Chan dilihat seperti sedang berdoa manakala paramedik dilihat sedang menguruskan seseorang yang tidak kelihatan jelas di dalam gambar tersebut.

Menurut saksi yang mendakwa melihat kejadian tersebut, jantung pelakon kacak itu berhenti berdegup untuk beberapa minit sebelum ia kembali berdegup dan kemudian dia dikejarkan ke hospital.

Gao yang memiliki ketinggian 1.93 meter itu mula muncul di khayalak ramai sebagai model fesyen. Mendiang adalah lelaki Asia pertama yang muncul di iklan kempen jenama mewah Louis Vuitton pada tahun 2011.

Mendiang juga pernah muncul dalam beberapa filem Hollywood seperti The Mortal Instruments: City of Bones (2013). Dia juga popular di China apabila dia membintangi Remembering Lichuan (2016), novel romantik Cina yang diadaptasikan kepada siri televisyen.

Sumber Gambar: Instagram