Madame Tussauds Hong Kong Tampilkan Patung Lilin Datuk Lee Chong Wei

Dia adalah atlet Malaysia pertama yang ada patung lilin sendiri!

Madame Tussauds Hong Kong telah mengumumkan hari ini bahawa bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan menjadi atlet Malaysia pertama yang menjadi sebahagian daripada daya tarikan di muzium patung lilin itu.

Datuk Lee Chong Wei turut menyapa peminatnya menerusi video rasmi yang disiarkan sewaktu sesi perbincangan atlet itu bersama pasukan Madame Tussauds.

Antara atlet yang paling berpengaruh di Malaysia, Datuk Lee Chong Wei adalah pemain badminton pertama yang memenangi Kejohanan Masters Siri Super BWF selama tiga tahun berturut-turut. Datuk Lee Chong Wei yang telah bersara tahun lalu, pernah memengang rekod menduduki ranking pemain badminton nombor satu dunia untuk 349 minggu dan baru ini dia telah dilantik sebagai Chef-De-Mission Malaysia untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beberapa bulan yang lalu, dia mengumumkan sumbangan sebanyak dua juta ringgit Malaysia kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Majlis Sukan Negara Malaysia (NSC) menerusi Yayasan Lee Chong Wei.

“Saya kagum dengan cara mereka merekodkan butiran dengan teliti, termasuk warna rambut dan mata saya. Saya amat berbesar hati dan berterima kasih kerana mewakili Malaysia. Saya harap patung lilin saya akan memberi inspirasi kepada lebih banyak rakyat Malaysia untuk mempamerkan bakat mereka di pentas global,”- Datuk Lee Chong Wei.

Menurut BoBo Yu, Ketua Pemasaran Madame Tussauds Hong Kong, Malaysia adalah salah satu pasaran penting buat muzium lilin itu. Datuk Lee Chong Wei adalah rakyat Malaysia kedua yang mempunyai patung lilin yang dipamerkan di situ selepas Datuk Michelle Yeoh. Dia juga berharap agar penggemar sukan dari Malaysia dan seluruh dunia akan berkunjung ke sini dan alami sendiri keajaiban badminton yang dipaparkan melalui Datuk Lee Chong Wei.

Patung lilin Datuk Lee Chong Wei akan didedahkan pada suku kedua tahun 2020. Nantikannya!