Filem Upin Ipin Keris Siamang Tunggal Tercalon Dalam Oscars 2020

Tahniah Upin Ipin!

Filem animasi terbitan Les Copaque Production, Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal kini melangkah lebih jauh setelah tersenarai sebagai calon Filem Animasi Terbaik Anugerah Oscar 2020.

Selain daripada Upin Ipin, filem animasi antarabangsa yang tercalon dalam kategori ini adalah Frozen 2, Toy Story 4 dan juga Angry Bird 2.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Les Copaque, Burhanuddin Md Radzi, penyertaan ke Oscar itu dibuat sendiri oleh pihaknya dan ia mula tercalon seleps filem berkenaan berjaya mencipta nama di Festival Filem Montreal.

Tambahnya lagi, dia diberitahu bahawa skrip filem animasi ini sangat berbeza selain daripada ia memenuhi kemahuan penonton.

Dia juga turut memberitahu bahawa antara syarat yang ditetapkan penganjur Oscar adalah filem animasi Upin Ipin ini perlu ditayangkan tiga kali sehari selama seminggu di pawagam di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat.

Dia berkata lagi, usaha membawa Upin dan Ipin ke Oscar 2020 ini bertujuan untuk membakar semangat pembikin filem tempatan.

Sebelum ini, pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah menghantar filem dokumentari yang mengisahkan pembentukan Malaysia Baharu selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU-14), M for Malaysia untuk mewakili Malaysia dalam kategori Filem Antarbangsa Terbaik.