Emma Maembong Sah Bergelar Isteri Juruterbang

Semoga perkahwinan ini kekal hingga ke Jannah.

Dengan hanya sekali lafaz, pelakon cantik Emma Maembong sah bergelar isteri kepada juruterbang, Muhammad Shazli Azhar yang berusia 32 tahun dalam majlis tertutup di sebuah premis acara di Bukit Damansara, jam 11.58 pagi tadi.

Majlis yang dihadiri 300 tetamu menyaksikan pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, berwalikan bapa Emma, Ismail Embong.

Pengantin lelaki telah menyerahkan mas kahwin RM2,000 dan senaskhah Al-Quran, selain tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang. Wang hantaran pula dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Selain adik-beradik Emma, majlis pernikahan itu turut dihadiri rakan selebriti lain seperti Mawar Rashid, Alvin Chong, Aprena Manrose dan Oktovia Manrose.

Emma atau nama penuhnya, Fatimah Rohani Ismail kelihatan anggun mengenakan persalinan rona putih rekaan Ezuwan Ismail. Dia mengungkap rasa syukur kerana perancangan sejak beberapa bulan lalu berjalan dengan lancar.

Pasangan ini bersua buat kali pertama pada tahun 2017 ketika menghadiri majlis sambutan hari jadi pelakon, Uqasha Senrose.

Menurut Emma Maembong, sehari selepas berjumpa, suaminya ada menghantar mesej di Instagram namun dia tidak menyedarinya. Hanya pada tahun 2018, Emma perasan akan mesej yang dihantar.

Tambahnya lagi, pada waktu itu mereka hanya berbual biasa termasuk soal kucing dan kemudian ia berakhir begitu sahaja. Tetapi pada 15 Julai tahun lalu, mereka berhubung semula di IG dan interaksi pada kali itu tampak lebih jelas dan mereka saling bertukar nombor telefon.

Seminggu kemudian, Muhammad Shazli mahu menjadikan Emma sebagai kekasih dan minggu berikutnya, dia bersungguh-sungguh melamar pelakon itu untuk menjadi isteri.

Emma akui sikap, kesungguhan dan keberanian Muhammad Shazli adalah antara yang berjaya memikat hatinya. Menurut Emma lagi, selepas sebulan mengenali hati budi masing-masing, mereka sepakat untuk menghalalkan hubungan itu dan pada 11 Oktober tahun lalu, keluarga Muhammad Shazli datang merisiknya.

Sementara itu, Muhammad Shazli mengaku kagum dengan sifat isteri yang rajin bekerja selain memiliki kecantikan semula jadi.

Pasangan ini akan mengadakan majlis berinai pada 6 Mac depan dan sehari selepas itu majlis resepsi akan diadakan di Putrajaya untuk meraikan pasangan mempelai.