Datuk Nassier Wahab Meninggal Dunia

Pemergian mengejut Datuk Nassier Wahab adalah kehilangan besar buat industri hiburan.

Datuk Nassier Wahab, penyanyi yang popular pada era 1980-an dilaporkan telah meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur pada jam 12.45 tengah malam tadi.

Berita sedih itu telah disebarkan oleh penyanyi, Zur Eda menerusi kiriman WhatsApp kepada rakan artis.

Pesanan itu ditulis seperti ini,

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Dukacita dimaklumkan Nassier Wahab baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 12.45 pagi.

Mohon sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah dan kita doakan semoga roh arwah akan ditempatkan bersama roh solehin. Al-Fatihah.”

Datuk Nassier Wahab yang berusia 57 tahun pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri pada 1 Jun lalu.

Dia dikatakan mula mengalami masalah itu sejak lima tahun lalu apabila mengadu sakit pada bahagian gusi.

Menurut pembantu peribadinya, Aliff Salim, penyanyi itu hanya akan mengambil pil tahan sakit setiap kali diserang kesakitan.

Tambahnya lagi, doktor ada menasihatkan Datuk Nassier untuk menjalani pembedahan namun ditangguh oleh penyanyi lagenda itu. Walaupun luarannya dia kelihatan sihat namun Datuk Nassier sebenarnya tidak mampu menahan sakit apabila masalah kesakitan akibat ketumbuhan itu menyerang.

Menurut Aliff lagi, penyanyi lagu Memori Cinta Luka itu memang mahu merahsiakan penyakitnya dan dia terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan dengan memberikan alasan jadual padat.

Sumber Gambar: Instagram Datuk Nassier Wahab