Charlize Theron Buka Kisah Gelap Mengenai Keluarganya

"Saya tidak malu dengan apa yang terjadi," -Charlize Theron.

Di sebalik senyuman yang dipamerkan di depan lensa kamera, terdapat satu rahsia yang selama ini disimpan oleh pelakon Hollywood terkenal, Charlize Theron.

Tiada siapa dapat menyangka pelakon berusia 44 tahun ini menyimpan rahsia yang besar mengenai keluarganya. Dalam satu temu bual bersama NPR Terry Gross, Theron akhirnya membuka cerita.

Aktres yang membintangi filem Bombshell itu memberitahu bahawa dia tidak malu untuk bercakap mengenai perkara yang telah terjadi dalam keluarganya kerana bagi Theron, dengan bercakap mengenai hal ini, dia tidak berasa keseorangan dalam melaluinya.

Ibu Bunuh Bapa Sendiri

Apakah perkara yang terjadi pada keluarganya? Percaya atau tidak, Charlize Theron memberitahu, ibunya telah membunuh ayahnya sebagai tindakan untuk mempertahankan diri. Menurut pelakon cantik itu, bapanya, Charles adalah seorang kaki botol sepanjang hidupnya dan situasi keluarga mereka bagaikan tiada harapan.

Tetapi pada suatu hari pada tahun 1991 sewaktu Theron berusia 15 tahun, bapanya pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dengan pistol dan dia serta ibunya, Gerda Maritz telah mengurung diri di dalam bilik tidur untuk melindungi diri mereka.

Dia memberitahu lagi, dia dan ibunya bersandar pada pintu kerana bapanya cuba untuk menolak pintu tersebut. Disebabkan berang, bapanya menembak pintu tersebut sebanyak tiga kali namun dia dan ibunya bernasib baik kerana tiada satu pun peluru yang menembusi mereka.

Menurut Theron lagi, selepas bapanya melepaskan tembakan, ibunya menamatkan ancaman tersebut dengan menembak bapanya sebagai cara untuk mempertahankan diri. Tiada sebarang dakwaan mahupun tindakan diambil terhadap Maritz.

Tidak Pernah Rasa Malu

Ini bukanlah kali pertama Theron bercakap soal bapanya yang kaki botol atau pada malam bapanya dibunuh oleh ibunya sendiri. Pada tahun 2017, Theron pernah mendedahkan perkara tersebut dalam satu temu bual bersama New York Times.

Bagi aktres cantik itu, dia berjaya mengharungi perkara tersebut dan bangga dengannya. Dia juga sudah bekerja keras untuk mengharunginya dan tidak takut dengan kegelapan.

Dia juga mendedahkan selepas kejadian itu, ditambah dengan reaksi ibunya terhadap keganasan dan penderaan, dia akhirnya mencari watak filem yang lebih mencabar dan kompleks untuk dilakonkan seperti watak pembunuh bersiri, Aileen Wuornos dalam filem Monster yang diterbitkan pada tahun 2003.

Pernah Diganggu Secara Seksual

Theron turut melakonkan watak Megyn Kelly, seorang pengacara Fox News dalam filem Bombshell yang disiarkan pada 13 Disember dan filem ini memberi fokus kepada gangguan seksual pada wanita yang bekerja di syarikat berita.

Dalam temu bual yang sama, Charlize Theron turut berkongsi pengalamannya menerima gangguan seksual daripada seorang pengarah filem yang memintanya datang ke rumah untuk mengadakan sesi uji bakat.

Namun sebaik sahaja dia sampai, pengarah tersebut memakai baju tidur dan menyentuhnya secara tidak sopan. Charlize Theron yang tidak selesa dengan keadaan itu telah meminta maaf kepada pengarah itu dan berlalu pergi.

Itu telah membuatkan dia marah dengan dirinya sendiri. Dia turut menyalahkan dirinya kerana tidak memberitahu perkara sebenar, tidak memarahi pengarah itu dan tidak melakukan pekara yang kita percaya akan lakukan ketika dalam situasi berikut.

Baca juga: Langkah Bijak Hindari Gangguan Seksual Di Tempat Kerja

Sumber Gambar: Depositphotos