Berapa Lama Pesakit Akan Mengalami Gejala #Covid19?

Jika simptom berterusan, jumpa doktor segera!

Sudah beribu-ribu kes novel coronavirus yang telah dilaporkan di seluruh dunia. Di Malaysia sahaja sudah ada 21 kematian yang melibatkan wabak ini sejak pagi tadi.

Justeru, kerajaan Malaysia telah melanjutkan perintah kawalan pergerakan bagi membendung Covid-19 ini. Penyebaran virus ini yang terlalu pantas telah menimbulkan banyak persoalan tentang apa yang akan terjadi apabila seseorang dijangkiti dengan wabak ini dan berapa lama gejala ini akan berterusan?

Satu kajian yang dijalankan oleh JAMA baru-baru ini, telah menganalisi data daripada 44,415 pesakit Covid-19 di China dan mendapati bahawa 81 peratus daripada kes tersebut diklasifikasikan sebagai ringan, 14 peratus adalah sederhana dan hanya lima peratus yang kritikal.

Namun begitu, ini bukalah penyakit yang boleh dipandang remeh. Berikut adalah gejala yang perlu diperhatikan dan berapa lama ia biasanya berlarutan dan apa yang boleh dilakukan untuk memastikan diri anda dan orang sekeliling selamat.

Bagaimana Covid-19 Merebak Dan Simptomnya

Menurut Cleavelandclinic.org, Covid-19 terutamanya disebarkan melalui titisan pernafasan. Itu bermakna untuk dijangkiti virus ini, seseorang perlu berada dalam jarak enam kaki daripada pesakit yang berjangkit dan bersentuhan dengan titisan ini. Anda juga boleh berjangkit dengan virus ini dengan menyentuh permukaan atau objek yang mempunyai virus di atasnya dan kemudian menyentuh mulut, hidung atau mata.

Gejala Covid-19 muncul dalam masa dua hingga 14 hari selepas pendedahan dan simptomnya termasuklah demam, batuk dan sesak nafas.

Menurut Prevention, pada masa ini, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) hanya menyenaraikan tiga gejala untuk Covid-19 iaitu demam, batuk dan sesak nafas. Tetapi World Health Organization China menyenaraikan gejala berikut:

  • Demam
  • Batuk kering
  • Keletihan
  • Pengeluaran sputum
  • Sesak nafas
  • Sakit tekak
  • Sakit kepala

Sekiranya anda menunjukkan simptom ini, CDC mengesyorkan untuk tinggal di rumah dan melakukan yang terbaik untuk menjauhkan diri dari bersentuhan dengan orang lain dan jika simptom menjadi lebih parah, hubungi doktor sebelum menuju ke hospital, di mana anda berpotensi menyebarkan virus.

Berapa lama gejala virus ini akan berterusan?

Menurut Prevention.com gejala virus ini biasanya boleh dilihat di antara dua hingga 14 hari selepas terdedah. Bermula dari itu, tempoh penyakit bergantung kepada beberapa faktor.

Menurut CDC, jika kes tersebut lebih ringan, anda mungkin mempunyai gejala selama beberapa hari dan akan berasa lebih baik dalam seminggu atau lebih.

Tetapi bagi kes yang lebih serius, virus mungkin merebak ke paru-paru dan mengakibatkan radang paru-paru, menyebabkan gejala berterusan dalam tempoh yang agak lama. Individu ini mungkin perlu masuk hospital dan diberikan rawatan sehingga gejala reda.

Sumber Gambar: Freepik

Sumber: Cleavelandclinic.org, prevention.com, dan Centers for Disease Control and Prevention