Anda Kerap Bangun Untuk Kencing Malam? Ia Mungkin Petanda Nocturia

Orang muda pun boleh kena ya...

Bangun pada waktu malam untuk ke tandas adalah sesuatu yang lazim, namun sekiranya berlaku dua kali atau lebih, ia mungkin akan mendatangkan masalah yang lebih besar sekali gus mengganggu tidur lena anda.

 

Tahukah anda, kekerapan bangun untuk membuang air kecil ini dikenali sebagai nocturia dalam istilah perubatan dan ianya boleh dihidapi oleh semua golongan usia sama ada tua mahupun muda.

Satu tinjauan mengenai kelaziman nocturia dalam kalangan orang dewasa di Malaysia (2019) menunjukkan hampir 40% daripada responden yang mengalami nocturia adalah disebabkan oleh pengambilan air yang berlebihan pada waktu malam. Malah, nocturia ini juga mungkin disebabkan oleh masalah kesihatan tersembunyi dan kritikal seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit buah pinggang.

Bagi yang mengalami gangguan tidur akibat nocturia pula, mereka akan mengalami kelesuan pada tubuh, kesukaran menumpukan perhatian dan sentiasa mengalami perasaan buruk yang boleh mengakibatkan kemelesetan produktiviti, imuniti dan kualiti hidup. Ia juga boleh menyebabkan kemurungan, memberi kesan yang negatif kepada kemampuan kognitif dan ingatan serta meningkatkan risiko penyakit Alzheimer. Selain itu, mereka yang mengalami nocturia juga akan terdedah kepada risiko untuk jatuh, kemalangan di jalan raya dan di tempat kerja. Jika dibiarkan, ia akan menambahkan lagi risiko penyakit kardiovaskular dan diabetes.

Namun, anda jangan bimbang kerana nocturia ini dapat dipulihkan semula dengan kaedah rawatan. Langkah pertama yang boleh dilakukan adalah mengubah gaya hidup kepada yang lebih sihat.

  • Kurangkan makan dan minum sebelum waktu tidur: Kurangkan makan dan minum dua jam sebelum tidur terutamanya minuman yang mengandungi alkohol dan kafein.
  • Membuat rekod: Pantau rutin harian, kekerapan kencing dan betapa penatnya anda di waktu siang akibat terpaksa bangun dengan kerap di waktu malam.
  • Pergi ke tandas sebelum tidur: Jadikan proses buang air kecil sebelum masuk tidur sebagai satu amalan.
  • Lebihkan senaman: Tingkatkan tahap kecerdasan dengan melakukan senaman, terutamanya senaman lantai pelvis, jika perlu.
  • Kurangkan garam: Kurangkan pengambilan garam dalam pemakanan harian.
  • Jaga berat badan: Kepada yang mempunyai masalah berat badan berlebihan/obes, kurangkan berat badan kepada berat yang bersesuaian.
  • Elakkan merokok dan menonton TV apabila anda bangun untuk membuang air kecil.
  • Angkat kaki melebihi aras jantung: Kepada yang mengalami peripheral oedema, angkat kaki melebihi aras jantung beberapa jam sebelum masuk tidur.
  • Ambil bahan-bahan diuretik di waktu siang: Kepada yang mempunyai preskripsi ubat yang mempunyai kesan sampingan meningkatkan air kencing, ambil ubat tersebut di waktu tengahari.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai cara menangani nocturia, anda boleh layari www.waketowee.com.

 

 GAMBAR: Freepik.com

 

Baca juga: Tidur Lebih Lena Selepas Minum 9 Air Ini!