Adakah Sanitizer Sudah Cukup Untuk Lindungi Diri Daripada Covid-19?

Ikuti penjelasan Dr Amalina Che Bakri.

Kementerian Kesihatan Malaysia semalam (5 Mac 2020), mengesahkan lima lagi kes positif Covid-19, menjadikan jumlah yang dilaporkan meningkat kepada 55 kes.

Rakyat Malaysia disarankan mengelak atau menangguhkan niat untuk ke luar negara buat masa ini terutamanya ke negara-negara yang diisytihar paling banyak kes Covid-19. Bercerita mengenai pencegahan virus jahat ini di Twitter baru-baru ini, Doktor terkenal kelahiran Malaysia, Dr Amalina Che Bakri telah berkongsi fakta dan cara pencegahan Covid-19.

Tular di Twitter apabila ada pihak yang mendakwa menggunakan sanitizer tidak membantu langsung dalam mencegah virus Covid-19. Katanya, sanitizer hanya bertindak membunuh kuman dan bukannya virus. Dr Amalina kemudian membetulkan kenyataan itu setelah ia disalah erti oleh pengikut di Twitter yang lain.

 

“Maklumat mengenai COVID-19 telah tular di media sosial. Ini nasihat yang salah. Pembersih berasaskan alkohol yang mengandungi alkohol 60-95% berkesan untuk membersihkan tangan anda. Ya, membasuh tangan dengan sabun dan air selama 20 saat adalah lebih baik terutama jika tangan anda kelihatan kotor. Tetapi dengan menggunakan sanitizer, ia lebih baik daripada tidak mencuci tangan anda sama sekali,” jelas Dr Amalina.

Dr Amalina juga menegaskan yang hand sanitizer tidak boleh dijadikan sebagai pengganti untuk membasuh tangan. Anda disarankan menggunakan sanitizer disaat tidak dapat mencuci tangan. Kata Dr Amalina, apa yang paling penting, basuh tangan anda dengan sabun sekerap mungkin. Selain itu, Dr Amalina juga berkata tidak guna memakai topeng muka jika anda sendiri tidak mengamalkan gaya hidup yang bersih.

Apapun, Jelita berharap anda semua menitikberatkan kebersihan diri serta lakukan pemeriksaan sekiranya mengalami salah satu simptom Covid-19 antaranya demam, batuk, selesema, sesak nafas dan lemah otot. Jauhi anak-anak anda daripada lokasi awam yang sesak dan sentiasa pantau kesihatan diri dan keluarga.

Sumber: Twitter @dramalinabakri